Isnin, 14 Mei 2018

Khairy: Umno perlu perubahan menyeluruh untuk menang hati rakyat

 
Ketua Pemuda Umno itu berkata, perubahan itu termasuk memilih barisan pemimpin yang boleh menetapkan kembali asas parti itu tanpa mengira pengalaman dan usia.


Khairy berkata, Umno juga perlu melakukan ‘muhasabah secara dalaman’ kerana kekalahan BN adalah tanggungjawab bersama seluruh kepimpinan parti.


KUALA LUMPUR: Umno perlu melakukan perubahan menyeluruh dan sistematik, jika parti itu mahu kembali memenangi hati rakyat, kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, ia termasuk memilih barisan pemimpin yang boleh menetapkan kembali asas parti itu tanpa mengira pengalaman dan usia.

“Umno perlu dinakhodai barisan pemimpin yang mampu memimpin parti. Tak semestinya dalam bentuk muda atau tinggi, tapi berdasarkan apa yang akar umbi mahu. Bukan soal orang muda atau orang lama.

“Kalau kita fikir Pemuda jaga orang muda, Wanita jaga wanita sahaja, itu pemikiran yang ‘obsolete’. Pengundi (sedang) menilai parti kita,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Khairy berkata, Umno juga perlu melakukan “muhasabah secara dalaman” kerana kekalahan BN ialah tanggungjawab bersama seluruh kepimpinan parti, walaupun bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atas kekalahan besar parti itu pada pilihan raya umum Rabu lalu.

“Kalau kami anggap kekalahan kerana seorang sahaja, kami tak dapat belajar sesuatu daripada perkara ini.”

Calon Umno memenangi 54 daripada 78 kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN). Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri dipertandingkan pada pilihan raya umum Rabu lalu.

Sementara itu, Khairy berkata, BN perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai “pembangkang berwibawa” di negara ini.

“Pengundi walaupun menolak BN, tapi berharap BN boleh mainkan peranan sebagai pembangkang. Mesej jelas dari rakyat ialah mereka sentiasa menilai kerajaan.”

Katanya, fokusnya kini ialah menstabilkan parti dalam jangka pendek.

“Sebagai ketua Pemuda, saya mahu kita fokus ‘short term stabilize party’. Mesyuarat cawangan (diadakan) dengan segera.”

Mengenai program Transformasi Nasional 50 (TN50) yang diasaskan BN, Khairy berkata, terpulang kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menentukan sama ada ia akan diteruskan.

“Ini terpulang kepada kerajaan baru. Kalau rasa program dan dasar lama boleh diguna pakai, gunalah. Saya tak boleh paksa mereka. Siapalah saya.

“Cuma saya minta lihat dasar dan program secara objektif, bukan politik. Kalau program rasa tak betul, peruntukkan benda lain. Buat keputusan atas penilaian professional.”

Tiada ulasan: