Isnin, 14 Mei 2018

Kaji Semula Projek Mega Malaysia, China – Rais

MYNEWSHUB




Tan Sri Dr. Rais Yatim


KUALA LUMPUR – Kajian semula projek mega antara Malaysia dan China perlu dilaksanakan demi menjaga kepentingan rakyat tempatan.

 

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, hampir semua projek mega hanya mementingkan sebelah pihak.

“Ini menunjukkan selama ini kita tidak meneliti kepentingan domestik tetapi banyak memberi laluan kepada negara China sahaja.

“Misalnya, projek Forest City dan Bandar Malaysia yang secara jelasnya tidak mampu dimiliki oleh rakyat tempatan,” katanya pada pemberita ketika ditemui selepas persidangan Ke Arah Melestarikan Kerjasama Bersepadu Untuk Masa Hadapan di Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), di sini, hari ini.

Bekas menteri luar itu berkata, pada masa ini, pelaburan China di Malaysia dianggarkan bernilai US$162 bilion.

“China dengan sewenang-wenangnya telah membina lapangan terbang dan pelabuhan di kawasan pertikaian di Laut China Selatan.

“Namun, kita di ASEAN dilihat masih berdiam diri dan tidak bersuara untuk mengekalkan kepentingan negara di Asia Tenggara berhubung Laut China Selatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diadakan satu majlis penyelidikan China-Malaysia tentang pelbagai aspek termasuk sejarah, budaya, ekonomi, keselamatan dan diplomasi.

“Kita mesti mewujudkan satu persefahaman yang jelas terutama dari segi kebebasan berdagang dan keselamatan di Laut China Selatan.

“Kita juga perlu menggunakan jasa baik China untuk memberi beberapa kemudahan penyelidikan bagi universiti-universiti tempatan termasuk UIAM,” katanya. – BERNAMA

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: