Isnin, 28 Mei 2018

Gobind bawa cadangan RTM siar Piala Dunia ke kabinet


Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengalu-alukan cadangan RTM menyiarkan secara langsung acara Piala Dunia 2018 yang bermula bulan depan.

Beliau berkata, penting untuk saluran nasional itu menyiarkan acara dunia yang menjadi perhatian, selain salah satu cara meningkatkan jumlah penonton.

"Kementerian saya telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan, agar kita boleh mendapat kebenaran menyiarkan Piala Dunia secara langsung yang bermula 14 Jun ini.

"Saya akan bawa isu ini ke mesyuarat kabinet Rabu ini, dan berharap jawapan yang diberi akan berpihak kepada kita," katanya pada sidang media di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Gobind berkata lagi, ia mampu menjadi sebahagian daripada cara untuk menjadikan RTM sekali lagi saluran pilihan rakyat Malaysia.

Biasanya kos untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia mencecah ratusan juta ringgit.

Sebelum ini, dilaporkan sembilan syarikat Thailand meraih THB1.4 bilion (RM174 juta) untuk membantu penyiar membayar hak menyiarkan acara selama sebulan itu, tetapi kos keseluruhan tidak dinyatakan.

Sementara itu di Singapura, Singtel, StarHub dan MediaCorp dilaporkan membayar SGD25 juta (RM74.3 juta) untuk hak penyiaran.

Bagi Fox Sports di Amerika Syarikat pula, mereka dilaporkan membayar AS$400 juta (RM1.59 bilion) untuk menyiarkan Piala Dunia 2018 dan 2022, serta beberapa kejohanan bola sepak antarabangsa yang berlangsung antaranya.

Semalam, anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan - termasuk Gobind - dan Astro berhubung kemungkinan menyiarkan acara itu secara langsung.

"Saya akan cuba dan berjumpa dengan Gobind untuk berbincang kerana kita mahu memastikan (rakyat berpeluang menontonnya).

"Misalnya kita boleh pasang layar besar di lokasi tertentu di setiap daerah dan kawasan parlimen," katanya seperti dipetik New Straits Times.

Tiada ulasan: