Selasa, 6 September 2016

Zika: Wanita hamil dan wanita bercadang untuk mengandung perlu minta nasihat doktor

Zika: Wanita hamil dan wanita bercadang untuk mengandung perlu minta nasihat doktor
Wanita yang mahu mengandung, akan mengandung atau sudah pun mengandung perlu berbincang dengan doktor pakar perbindanan masing-masing untuk mendapatkan nasihat sewajarnya mengenai wabak Zika.
 
 
KUALA LUMPUR: Wanita hamil, bercadang mahu mengandung perlu berbincang dengan doktor pakar perbidanan masing-masing untuk mendapatkan nasihat sewajarnya mengenai virus Zika yang melanda negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam, berkata ini termasuk mendapatkan nasihat tentang jangka masa yang selamat dan tidak selamat untuk memperoleh cahaya mata.

Dr Subramaniam berkata sekarang masyarakat perlu sedar bahawa virus Zika sudah pun menular di beberapa tempat terutamanya di Johor Bahru yang laluan ramai rakyat Malaysia untuk berulang-alik ke negara jiran.

“Sekarang kita kena anggap, contohnya Johor mungkin virus itu sudah ada di situ. Walaupun kita tak nampak kes-kes positif tetapi dengan keadaan dan kedudukan Johor Bahru dan jumlah mereka yang ulang-alik serta jumlah kes yang meningkat di Singapura, kemungkinan penularan sudah berlaku.

“Jadi, di dalam perkara macam itu, ada kemungkinan ada orang telah mendapat penyakit tetapi kita tidak tahu, sebab 80 peratus tiada simptom cuma 20 peratus ada simptom.

BACA: Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu

“Oleh itu, mereka yang mahu mengandung, lebih baik mereka jumpa doktor. Ikut nasihat yang diberikan oleh doktor, itu cara yang paling sesuai,” katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan
Persidangan Saintifik Kesihatan Malaysia Bersekutu yang ke-11, di sini, hari ini.

Tambahnya, nasihat doktor juga penting kerana pemeriksaan untuk virus Zika tidak berhenti selepas ujian darah dan terdapat banyak tindakan susulan.

Dr Subramaniam  turut berkata Kementerian sudah pun berbincang dengan kesemua doktor kerajaan dan swasta mengenai tindakan yang harus dilakukan sekiranya pesakit yang dijangkiti Zika datang untuk membuat ujian dan mendapatkan rawatan.
 
Minggu lalu, seorang warga emas dari Sabah menajadi kes tempatan pertama jangkitan virus tersebut. Lelaki berusia 61 tahun itu dilaporkan mengalami demam pada 27 Ogos dan mendapatkan rawatan pada kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang di Kota Kinabalu pada 30 Ogos.

Beliau dialporkan meninggal dunia pada 3 September akibat komplikasi jantung. 
 
 

Tiada ulasan: