Ahad, 25 September 2016

Terengganu di ambang penyingkiran

skuad Penyu
Kesebelasan utama skuad Penyu yang diturunkan pengendali sementara Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab ketika turun melayan kunjungan Kedah, malam tadi.‎ - Foto oleh AIDIL MUSLIMIM
 

PASUKAN Terengganu terus berada di ambang penyingkiran setelah mencatatkan kekalahan 0-3  ke atas Kedah dalam perlawanan kedua terakhir saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Kekalahan itu jelas memperlihatkan skuad Penyu hampir pasti melangkah ke saingan Liga Perdana musim depan selepas menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengutip 19 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.

Pertemuan itu menyaksikan kem pelawat bermula garang dengan terus mengasak benteng pertahanan tuan rumah bagaimanapun percubaan awal itu berjaya dikekang Vincent Bikana pada minit kedua perlawanan.

Empat minit berselang pelawat hampir berada di depan menerusi percubaan kemas, Thiago Agusto  Fernandes namun palang gol menjadi penghalang biarpun ketika itu penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee sudah tertewas ketika itu.

Percubaan itu jelas menyuntik semangat Helang Merah untuk mencari jaringan pembukaan dan kerja keras skuad kendalian Tan Chen Hoe akhirnya membuahkan hasil apabila Thiago Agusto Fernandes berjaya membawa Kedah di depan selepas memanfaatkan hantaran kemas Smelts Shane Edwards pada minit ke-13.

Tuan rumah yang sesekali menlancarkan serangan balas nyaris menyamakan kedudukkan pada minit ke-18, tetapi percubaan dari luar kotak penalti yang dilakukan Vincent Bikana gagal menemui gawang gol Kedah.

Dua minit selepas itu, kem tuan rumah sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk mengikat kedudukan, namun Norshahrul Idlan Talaha sedikit terlewat sebelum benteng pertahanan Kedah pantas menafikan hajat skuad Penyu.

Sebaliknya kem pelawat berjaya mencipta dua peluang untuk mengukuhkan kedudukan, bagaimanapun percubaan Thiago Agusto Fernandes (minit 34) dan Mohd Syazwan Zainon (minit 35) dinafikan tiang gol.

Menuju ke penghujung perlawanan skuad Penyu meraih peluang keemasan untuk meledakan gol pada minit ke-37 menerusi sepakan penjuru Mohd Fakhrurazi Musa namun tandukan Mohd Ashaari Shamsuddin sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang gol Kedah.

Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan, bagaimanapun kem tuan rumah gagal mengimbangi rentak permainan yang dipamerkan skuad Helang Merah apabila Kedah berjaya mengukuhkan kedudukan pada minit ke-62 menerusi tolakan kemas Smelts Shane Edwrad untuk gol kedua pelawat hasil hantaran kemas Thiago Agusto Fernandes.

Terengganu yang cuba bangkit mengatur  serangan ke gawang gol Kedah bagaimanapun gagal melepasi kekentalan benteng pertahanan pelawat yang dikawal rapi kapten pasukan, Khairul Helmi Johari dan gandingannya, Mohamad Syawal  Nordin.

Kedah yang terus memperagakan aksi lebih berdisplin berjaya melebarkan jaringan pada minit ke-80 menerusi ‘ayam tambatan’, Thiago Augusto Fernandes untuk gol ketiga pelawat sekaligus menafikan hajat tuan rumah untuk melepasi zon penyingkiran.


Tiada ulasan: