Isnin, 12 September 2016

Sekolah satu murid di Selangor dipindah

MALAYSIA GAZETTE




Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bukit Fraser yang hanya mempunyai seorang murid akan berpindah tidak lama lagi.

China Press melaporkan, sekolah itu pada masa ini merupakan satu-satunya sekolah di Selangor yang mempunyai seorang murid.

Murid tunggal kini berada di darjah empat dan ayahnya telah bersetuju supaya anaknya ditukar ke sekolah lain sekiranya SRJKC Bukit Fraser dipindahkan.

Disebabkan bakal dipindah, pihak sekolah turut menghentikan usaha untuk mengambil pelajar baharu.
Sekolah yang terletak di kawasan sempadan Pahang dan Selangor itu gagal mendaftarkan pelajar darjah satu sejak 2015, menjadikan kemelut kekurangan pelajar semakin runsing.

Riwayat sekolah itu bagaimanapun dijangka dapat disambung apabila lembaga pengelola sekolah menerima tawaran daripada pemaju untuk berpindah.

Lokasi awal yang ditawarkan ialah Kajang tetapi selepas mengambil kira kewujudan SRJKC lain di tempat tersebut, maka Jenjarom telah dicadangkan.

Perbincangan masih dijalankan, tetapi SRJKC Bukit Fraser dijangka dipindah dalam tempoh dua atau tiga tahun.


Tiada ulasan: