Selasa, 6 September 2016

Salah kerajaan dan penganjur, Duta Sri Lanka dipukul

 
Persatuan Progresif India Malaysia tindakan kerajaan dan penganjur membenarkan bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke negara ini menyebabkan kaum Tamil berang.


mipas


PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dan penganjur Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) patut dipersalahkan atas tindakan sekumpulan lelaki menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar baru-baru ini.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) S Barathidasan berkata tindakan kerajaan Malaysia dan penganjur membenarkan bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa berkunjung ke negara ini menimbulkan kemarahan kaum Tamil.

“Punca (kejadian pukul Duta Sri Lanka) ialah kerajaan Malaysia dan penganjur (ICAPP) menyebabkan sekumpulan orang ini marah.

“Sekiranya kerajaan Malaysia dan penganjur menahan dan tidak memberi visa kepada Rajapaksa untuk melawat Malaysia, perkara ini tidak berlaku,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata kerajaan tidak seharusnya membenarkan Rajapaksa masuk ke negara ini disebabkan tindakan keganasan yang dilakukan pemimpin itu terhadap kaum Tamil di Sri Lanka.

“Ini punca kelalaian kerajaan Malaysia dan penganjur (ICAPP). Dia (Rajapaksa) pembunuh. Jika kita (rakyat Malaysia) melakukan sedikit kesalahan saja, ada yang sampai tidak dibenarkan masuk ke Sabah dan Sarawak.

“Apatah lagi dia pembunuh dan penjenayah dunia tetapi dapat masuk ke negara ini. Ini membangkitkan kemarahan kaum Tamil,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan lelaki menyerang duta Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tindakan itu dikutuk Kementerian Luar Sri Lanka dan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti pelaku.

Ibrahim dipercayai sedang mengiringi Menteri Perindustrian Utama, Daya Gamage yang selesai menghadiri Persidangan ICAPP di PWTC untuk pulang ke Sri Lanka.

Persidangan itu turut dihadiri Rajapaksa, yang mencetuskan tunjuk perasaan di luar PWTC pada hujung minggu lalu.

Kaum Tamil membantah kehadiran Rajapaksa dan menuduh beliau dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai penduduk Tamil Sri Lanka dalam perang saudara berdekad lamanya di negara itu.

Barathidasan berkata pihaknya kesal kerana laporan polis yang dibuat terhadap pihak berkuasa untuk melarang Rajapaksa masuk ke Malaysia tidak diendahkan.

“Kita buat lebih 500 laporan polis melarang Rajapaksa masuk ke Malaysia. Tetapi polis tidak ambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menyokong tindakan kumpulan yang menyerang duta Sri Lanka berkenaan kerana disifatkan sebagai keganasan.

“Sebagai NGO, kita tidak menggalakkan benda ini berlaku. Jika nak bantah buat himpunan secara aman,” katanya.

Tiada ulasan: