Khamis, 8 September 2016

Pertemuan Mahathir-Anwar tidak jejaskan Umno

Oleh Mohd Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pertemuan dua seteru politik antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjejaskan Umno, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Malah katanya, Umno cenderung memfokuskan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat, berbanding dengan pertemuan dua tokoh politik itu. 
 
"Dia bertemu, bertemulah. Kita bertemu rakyat. Apa salahnya. Dia bertemu dia punya pasal lah.
 
"(Umno) tak terjejas," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas melancarkan majlis pecah tanah di ibu negara hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas oleh pemberita tentang pertemuan Mahathir dan Anwar Selasa lepas.
 
Mahathir Selasa lalu melakukan kejutan apabila hadir di mahkamah untuk berjumpa Anwar yang memfailkan tindakan undang-undang bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 atas alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak sah.
 
Bagaimanapun tokoh itu menafikan beliau berjumpa Anwar untuk berbaik semula dan mengakhiri permusuhan politik antara mereka yang menjangkau 18 tahun.
 
Sebaliknya kata Mahathir, kehadiran beliau adalah untuk menyokong Anwar bersabit Akta MKN.
 
Mengulas lanjut, Tengku Adnan turut membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali bahawa pertemuan bersejarah itu boleh menjejaskan Umno.
 
Beliau berkata, Umno tidak gentar dengan kewujudan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan bekas ahli parti itu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi.
 
"Tak adalah. Saya tak gentar langsung. Saya sebagai wakil rakyat kita bertemu rakyat. 'We walk the talk'," katanya ringkas. 
 
 

Tiada ulasan: