Ahad, 4 September 2016

Pejabat Pas Salor hak kerajaan negeri, bukan Husam - Nasuruddin

 
 
PAN memasang bendera parti di Pejabat Pas Salor yang dibantah kepimpinan Pas Kawasan
PAN memasang bendera parti di Pejabat Pas Salor yang dibantah kepimpinan Pas Kawasan


Datuk Husam Musa tidak berhak mengambil alih pejabat Pas DUN Salor selepas beliau mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada 30 Ogos lalu.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud berkata, tapak tanah dan bangunan pejabat itu adalah hak milik kerajaan negeri.

"Husam tidak ada hak untuk mengubahsuai pejabat itu bagi kegunaan parti PAN," katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau mengulas pertelingkahan yang berlaku antara kepimpinan Pas DUN Salor dengan PAN kawasan itu berhubung hak milik pejabat berkenaan.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dikatakan akan mengubahsuai pejabat berkenaan menjadi milik parti yang baharu disertainya, manakala Pas kawasan itu pula mendakwa markaz itu kepunyaan mereka.

Menurut Nasuruddin yang juga ADUN Meranti, kerajaan negeri tidak akan menbenarkan tanah itu digunakan sebagai markas Pas Salor kalau bukan kerana untuk kepentingan awam dan parti.

Tetapi katanya, setelah ketua di kawasan itu (Husam) tidak lagi berada dalam Pas, secara automatik pejabat berkenaan perlu dipulangkan kepada Pas, bukan ditukar menjadi milik PAN.

"Kita check doh, asal tanah kerajaan tu buke tanoh pok dia, buke tanoh tok dia, asalnya tanoh kerajaan. (Kita sudah buat semakan, tanah yang menjadi tapak pejabat Pas Salor itu bukan hak milik bapa atau Datuk Husam. Ia adalah tanah kerajaan negeri," tegasnya.

Katanya, Husam boleh keluar Pas, tetapi beliau tidak boleh mengambil pejabat DUN sekali.

"Nak keluar Pas, keluarlah, tapi kenapa nak ambil pejabat Pas? Langsung tak ada amanah. Nama saja parti Amanah, sebab itu ambo (saya) tak panggil nama parti Amanah, (panggil) parti PAN," katanya. 

MalaysiaGazette turut membuat semakan status tanah berkenaan dan mendapati ia milik isteri kepada seorang aktivis politik kawasan Salor, Datuk Rosli Ibrahim.

Berikut adalah status sebenar pemilik tanah Pejabat DUN Salor;

Pemilik: Minah binti Musa
Didaftarkan: Tahun 1960
Jadi Hak Milik: Tahun 1961
Pemilik Kedua: Saripah binti Dollah tahun 1993.

Saripah ialah isteri kepada Rosli, yang menyerahkan tanah miliknya itu kepada Husam yang ketika itu Ketua Pas Kawasan Salor untuk aktiviti parti.

Husam kemudian menganjurkan pelbagai program mengutip dana untuk membina pejabat Pas itu termasuk sumbangan kerajaan negeri. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: