MALAYSIAKINI
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menasihati ahli dan penyokong
parti itu supaya sentiasa membaca al-Quran dan mengetepikan Facebook.
Memetik pengalamannya bertemu Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada suatu
hari Nasrudin menceritakan bagaimana beliau memaklumkan kepada presiden
PAS itu mengenai sikap serta pandangan awam terhadap parti mereka.
Antara isu utama yang dilaporkannya kepada Abdul Hadi ialah tanggapan
ramai mengenai ketegasan beliau membawa rang undang-undang persendirian
bagi meminda Akta 355 ke Parlimen.
"Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari Facebook, Twitter, Whatsapp group dan lain-lain media sosial (serta) media konvensional.
"Sebahagian mendakwa PAS telah ditipu oleh Umno dan BN, sebahagian
mendakwa PAS akan menyertai Umno dan BN, sebahagian menganggap PAS salah
langkah politik sehingga menyebab PAS akan terpinggir dari arus perdana
tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah PAS
membawa RUU Ahli Persendirian ke parlimen," katanya.
Menurut anggota parlimen Temerloh itu reaksi Abdul Hadi terhadap laporan berkenaan ialah "sangat tenang".
Selepas mendengar laporan serta celotehnya mengenai sikap dan
pendekatan PAS dalam pelbagai isu, Abdul Hadi hanya mengulas dengan
sepatah ayat: "Anta (kamu) baca al-Quran, jangan baca Facebook."
Bagaimanapun untuk makluman Nasrudin menyatakan kisah dan nasihat berkenaan melalui Facebook.
Selamat ke akhirat
Kata Nasrudin pada tanggapannya Abdul Hadi tidak berminat untuk
melayan "segala caci maki dan kritikan sinis" pengguna media sosial
terhadap PAS.
Seminggu kemudian kata Nasrudin berlangsung mesyuarat bulanan PAS dan
seperti biasa ia dimulakan dengan usrah ahli jawatankuasa pusat parti
berkenaan.
"Rupa-rupanya ahli usrah lain turut membangkitkan perkara serupa,
betapa Facebooker dan pengamal media sosial lain sebahagiannya mengecam
PAS bertali arus dan mereka mahu mendapatkan respons balas dari Tuan
Guru Presiden.
"Sewaktu merumus perbincangan usrah pada waktu itu, sekali lagi Tuan
Guru Presiden menegaskan: Kita kena baca al-Quran, jangan baca Facebook
saja!" tulis Nasrudin.
Bagaimanapun kata Nasrudin pada pertemuan bulanan itu Abdul Hadi
menghuraikan dengan lebih panjang maksud penegasan beliau bagi
memahamkan ahli usrah.
"Baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalamullah.
Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman
hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat.
"Baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja! Tegas Datuk Seri Tuan Guru
Presiden mengakhiri rumusan usrah kami waktu itu," tulisnya dalam
tulisan berjudul "Sekali Serban Dililit (51): Baca al-Quran! Jangan baca Facebook ..."
Kenyataan itu turut dimuat naik dalam portal Harakahdaily diiringi gambar Abdul Hadi sedang menatap komputer riba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan