Ahad, 4 September 2016

LAWAN TETAP LAWAN - FAHAMKAH NAJIB MAKSUD SEBENAR UNGKAPAN POPULAR ANWAR ITU?

shahbudindotcom


Rasanya sudah lebih dari sekali Najib Razak mengungkapkan perkataan "lawan tetap lawan" dalam ucapannya yang bertujuan untuk menggambarkan beliau tidak akan berundur atau mengalah di sebalik cabaran bertali arus menghimpitnya.

Semalam sekali lagi beliau melafazkan ungkapan yang pernah dipopularkan oleh Anwar Ibrahim itu untuk ditujukan khusus kepada Tun Mahathir Mohamad yang kini berusia 92 tahun.

"Lawan tetap lawan, saya tidak takut kepada sesiapa, saya hanya takut kepada Allah sahaja.

"Saya tidak takut kepada orang yang khianati UMNO selepas jadi pemimpin selama 22 tahun. Patutkah saya takut kepada orang yang berusia 92 tahun," kata Najib lagi.
 
 
 
 
Gelihati pun ada bila Najib kerap menyebut "lawan tetap lawan" itu sejak kebelakangan ini, apatah lagi bila ia ditujukan khusus kepada Tun Mahathir.

Apakah beliau benar-benar faham maksud ungkapan  yang dilafazkannya itu?

Adakah beliau melafazkannya setelah menatap cermin untuk melihat wajah dirinya yang sebenar selama ini atau sekadar untuk membuatkan para penyokongnya bertepuk tangan semata-mata?

Jika Najib memiliki "cermin besar" untuk melihat secara jujur ke dalam dirinya dan mengimbas kembali beberapa ketakutannya selama ini, sama ada untuk berdebat dengan Tun Mahathir atau menyaman WSJ dan Muhyiddin Yassin, beliau seharusnya malu untuk mengungkapkan kata-kata itu.

Dibandingkan dengan keberanian dan hati waja Anwar Ibrahim yang selalu mengungkapkan kata-kata itu seiring dengan tindakan yang dizahirkannya, satu peratus pun Najib tidak mempunyai persamaan dengannya.

Najib secara azalinya sejak terkecimpung dalam politik berikutan kematian Tun Razak secara mengejut pada 1976, tidak dengan menebas lalang dan semak samun untuk jalan yang dilaluinya. Laluannya sentiasa tersedia kerana dirinya berbinkan Tun Razak.

Beliau tidak pernah bertanding untuk mana-mana jawatan dalam UMNO yang  memerlukan seorang pemenang. Pengalamannya berlawan hanyalah bagi jawatan Naib Presiden UMNO yang memperuntukkan tiga kerusi untuk diisi.

Kemudian, laluannya untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Presiden UMNO juga diperolehi bukan melalui pertandingan.

Oleh itu, Najib tidak kenal erti berlawan dalam ertikata yang sebenar. Mengungkapkan kata-kata "lawan tetap lawan", tetapi yang terzahir adalah ketakutan berbanding keberanian, hanya akan membuatkan banyak senyuman sinis dilemparkan terhadapnya.

Jika Najib bukan berbinkan Tun Razak dan berkecimpung dalam politik bermula dengan menebas lalang dan semak samun daripada peringkat cawangan seperti kebanyakan pemimpin yang lain, barangkali beliau bukanlah sesiapa pun pada hari ini.

Bukan saja tidak berani berdebat dengan Tun Mahathir dan tiada kekuatan untuk menyaman WSJ atau Muhyiddin Yassin, Najib juga gemar menyingkirkan pengkritik dan penentang-penentangnya dalam UMNO sebelum gelanggang pertandingan dibuka.

Lebih dari itu, Gani Patail sebagai Peguam Negara juga ditukarkan secara mengejut, manakala SPRM dan Bank Negara dikacau ganggu ketika Abu Kassim dan dan Dr Zeti Akhtar mengetuainya yang kemudian menyaksikan kedua-dua mereka hilang kedudukannya.

Anwar yang sedang berada dalam penjara pun barangkali turut geli hati apabila ungkapan popularnya itu yang kini kerap dipinjam oleh Najib. Sebelum PRU 13 dulu, Anwar juga pernah mencabar Najib berdebat dengannya, tetapi jawapan yang diberi ialah "debat bukan budaya kita."

Jika Najib benar-benar ingin berlawan bak ungkapan "lawan tetap lawan" dalam menghadapi musuh-musuh politiknya, tidak memadai dengan sekadar berkata-kata saja. Kata-kata mesti diiringi dengan tindakan yang sama atau lafaz kata seharusnya senada dengan tindakan yang dilakukan. Banyak lagi yang perlu dipelajarinya daripada Anwar yang kini berada dalam penjara.

Berdasarkan rekod dan ketidakberanian berlawan sebelum ini, Najib lebih menghina dirinya sendiri apabila meminjam ungkapan kata Anwar itu.


Tiada ulasan: