Selasa, 6 September 2016

Jemaah haji peluang solat di bangunan baharu

ASLANI M




 

MAKKAH: Jemaah haji yang bertandang ke sini sekarang agak beruntung apabila dapat solat di bangunan Masjidilharam yang baharu.

Bangunan baharu yang terletak bersebelahan masjid sedia ada kelihatan lebih besar.

Dilengkapi ruang solat setinggi tiga tingkat, yang mengasingkan ruang solat untuk lelaki dan wanita.

Kerja-kerja pembesaran Masjidilharam yang dilakukan sejak beberapa tahun lepas kini dianggarkan lebih 80 peratus siap.

Bangunan baharu dibina lebih tinggi turut dikekalkan senibina seperti masjid lama. Hiasan dalaman juga lebih cantik.

Ruang solat tingkat bawah lebih luas dan tinggi. Lantai tempat solat juga dibina bertingkat di mana ruang hadapan berhampiran Kaabah lebih rendah berbanding bahagian belakang.

Turut dilengkapi dataran yang luas di bahagian belakang dan di situ juga terdapat kompleks tandas bawah tanah.

Di hujung dataran yang menghampiri bukit dilihat bangunan seperti pejabat, sedang dalam pembinaan. Sebahagian besarnya sudah siap.

Begitu juga tempat tawaf di bahagian atas (aras tiga) di bangunan lama sudah boleh digunakan.

Kerja-kerja pembesaran masjid yang dipelopori syarikat Ben Laden agak terjejas selepas berlaku tragedi tren tumbang yang mengorbankan ramai jemaah haji tahun lepas.

Syarikat yang sama juga difahamkan terbabit dengan pembesaran Masjid Nabawi di Madinah. Projek tersebut juga tergendala selepas tragedi tahun lepas.

Seorang pekerja kontrak dari Indonesia yang bekerja di tapak projek berkenaan memberitahu kerja-kerja pembesaran Masjid Nabawi juga tergendala selepas tragedi kren tumbang.

Kini kerja-kerja pembesaran Masjidilharam masih diteruskan biar pun kelihatan agak perlahan.

Kren statik yang didirikan berhampiran bangunan juga sudah banyak diturunkan. Sedangkan sebelum kelihatan berpuluh kren pengangkut bahan binaan.

Dengan siapnya bangunan baharu jemaah haji tidak perlu lagi bersesak sesak di ruang solat sedia ada.

Mereka mempunyai pilihan untuk solat di bangunan baharu, kini sebahagian besar sudah boleh digunakan.

Seorang jemaah dari Kelantan Mat Saaud (Gambar kanan) berkata dengan siapnya bangunan baharu jemaah haji dapat solat dengan selesa.

"Sebelum ini kalau datang lewat kita terpaksa solat di dataran kerana semua pintu masjid sudah ditutup.

"Namun selepas bangunan baharu mula digunakan orang ramai masih berpeluang solat dalam masjid," katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: