Khamis, 15 September 2016

HUSNI TIDAK BOLEH DIPERCAYAI....

shahbudindotcom


Ramai yang nampaknya teruja dengan temubual bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah dengan sebuah akhbar yang seolah-olah menggambarkan perletakan jawatannya pada bulan Jun baru-baru ini ada kena mengenai dengan kemelut 1MDB.

Husni  yang menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak 2009 juga mengatakan beliau tidak tahu menahu tentang penubuhan 1MDB dan kemudian menggambarkan tekanan darahnya yang meningkat sehingga terpaksa berjuma berjumpa doktor, adalah juga disebabkan permasalahan berkaitan syarikat pelaburan tersebut.

Bagi yang terlupa, kata-kata Husni ini memang mengasyikkan dan membuai perasaan, tambahan lagi sebelum ini beliau juga mengatakan mahu ke Jordan bagi mendalami pengajian Al-Quran. 

Dengan meletakkan jawatan, Husni cuba menggambarkan beliau telah menemui jalan kebenaran. Agama memang selalu dijadikan candu untuk mengkhayalkan orang lain, walaupun Husni adalah watak yang tidak konsisten dan sukar untuk dipercayai.



Sepertimana yang ditulis dalam blog ini pada 27 Jun 2016, sebaik berita perletakan jawatannya diumumkan, maklumat yang dekat dengan Husni memaklumkan, perletakan jawatannya adalah disebabkan keengganannya ditukarkan ke kementerian lain.

Beliau sebenarnya tidak secara sukarela ingin berhenti atau mengundurkan diri, tetapi semata-mata tidak setuju apabila Najib mahu menukarkannya ke kementerian lain.  Difahamkan Najib mahu Husni mengambil alih tempah Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap EPU.

Berikutan itu, disebabkan patah hati dan kecewa dengan pertukaran kementerian yang seolah-olah turun gred, Husni melepaskan semua jawatannya dalam UMNO.

Kemudian, pada 3 Julai 2016, melalui kenyataannya kepada media, Husni sendiri mengesahkan perletakan jawatannya ialah kerana enggan ditukarkan ke kementerian lain.

Katanya, beliau berhasrat mahu mengakhiri kariernya di Kementerian Kewangan serta ingin bersara selepas PRU 14 akan datang dan dengan itu merasakannya, pertukaran ke kementerian lain adalah tidak efektif baginya.

Waktu itu tidak timbul sama sekali rungutan berkaitan 1MDB atau diserang darah tinggi kerana terbeban menanggung permasalahan syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan Najib dan Jho Low itu.



Jika benar Husni rasa bersalah kerana tidak tahu mengenai penubuhan 1MDB sejak awal lagi, kenapa tidak mengundurkan diri waktu itu? Sejak 2009 hingga 2016, kenapa sanggup bertahan?

Atau, jika benar kerana jujur dan ikhlas hati tidak mahu bersekongkol atau bersubahat dengan Najib atau 1MDB, mengapa juga setelah tekanan darah tingginya mencanak naik, beliau masih tidak mahu meletakkan jawatannya?

Mengapa ketika kabinet memberikan tugas sebagai jurucakap kerajaan untuk menjawab sebarang persoalan berkaitan 1MDB, beliau bersetuju dengan tugas itu?

Selain itu, jika Najib masih mengekalkannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, di mana Husni berdiri ketika ini, berundur diri atau masih gah dengan jawatannya yang glamour dan menjadi tumpuan ramai itu?

Jika benar juga tugas sebagai Menteri Kewangan Kedua yang antaranya perlu menangani permasalahan 1MDB yang menyebabkan tekanan darah tingginya meningkat, mengapa Husni tidak mengambil peluang untuk bersetuju dengan pertukaran ke kementerian lain kerana ia sudah tentu membawa lebih kebaikan kepada kesihatannya?

Husni...Husni...semakin banyak bercakap, makin beliau mendedahkan siapa dirinya yang sebenar. Memang 1MDB bermasalah dan banyak caca-marbanya, tetapi Husni juga memperlihatkan dirinya penuh dengan kecaca-marbaan.

Sekali lagi, kata-katanya banyak yang tidak boleh dipercayai. Isu beliau berundur hanyalah berkaitan jawatan dan kedudukan, bukan disebabkan perkara-perkara lain.


Tiada ulasan: