Ahad, 18 September 2016

Hari Malaysia, antara harapan dan janji semalam

rencana_harimalaysiahafiz
“Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”
Tunku Abdul Rahman, 1961

Oleh Hafiz Zainuddin


September tidak pernah sesekali lupa bagaimana negara ini terbentuk dan membangun sebagai persekutuan yang cemerlang-tanpa konflik berdarah antara Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak; meski mendapat tentangan jirannya Filipina dan Indonesia dalam beberapa siri konfrontasi.

Tetapi penyatuan empat wilayah bekas jajahan Inggeris membentuk Persekutuan yang diberi nama Malaysia pada 16 September 1963 lalu nyaris dilupai dan tenggelam dalam sejarah kerana ia tidak dikenang sebagai hari besar negara, dan kerajaan, memerlukan 46 tahun untuk mengiktiraf Hari Malaysia sebagai cuti umum.

Idea penubuhan Malaysia telah diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman ketika berucap pada 27 Mei 1961 dalam majlis anjuran Persatuan Wartawan-wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi Singapura dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Britain ketika itu Harold MacMillan.

Penubuhan Malaysia, antara lain bertujuan untuk mengekang ancaman dan pengaruh komunis di rantau ini sekaligus mengukuhkan perkembangan ekonomi di antara wilayah yang membentuk persekutuan.

Perkongsian faedah ekonomi dalam kalangan negara yang membentuk persekutuan itu juga penting dalam membela dan membangunkan masyarakat bumiputera yang masih jauh ketinggalan.

Bagi Gen Y yang lahir sekitar 80’an dan 90’an; 16 September tidak dianggap sebagai tanggal keramat, malah mungkin tidak tahu apa-apa atau lupa, dan menganggap 31 Ogos 1957 sebagai hari merdekanya ‘negara’ ini dari tangan kolonial termasuklah bagi di Sabah dan Sarawak.

Persoalannya, mengapa kerajaan UMNO mengambil masa terlalu lama untuk mengiktiraf Hari Malaysia, yang itupun telah banyak kali didesak oposisi dan anggota-anggota parlimen Sabah dan Sarawak?

Atau, sengaja sambutan kemerdekaan setiap kali Ogos dibuat khusus sebagai bahan propaganda yang cuba mempromosikan UMNO sebagai satu-satunya hero rakyat Malaysia?

Kempen manipulasi sejarah dengan cuba meletak kekeliruan rakyat negara ini tentang tarikh keramat negara tidak boleh diterima; dan kita sudahpun melihat bagaimana pembohongan tersebut akhirnya mengaku kalah dengan kebenaran.

Mujur, dengan kempen dan desakan kuat gabungan Pakatan Rakyat ketika untuk mengiktiraf Hari Malaysia, ia berjaya membuka lembaran baru dan menyebabkan kerajaan BN tidak punya pilihan selain akhirnya terpaksa menabalkan 16 September sebagai cuti umum seluruh negara pada 2010.

Selain Hari Malaysia 16 September 1963, tarikh hari kemerdekaan bagi negara yang membentuk Persekutuan Malaysia ini adalah berbeza-beza.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Borneo Utara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 manakala Singapura yang membentuk pemerintahan sendiri pada 1955 hingga 1963, disetujui British bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 dan kemudian berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Mana janji-janji BN kepada Sabah dan Sarawak?

Persoalan saat ini ialah adakah cita-cita perkongsian faedah ekonomi yang adil diantara Sabah dan Sarawak benar-benar wujud? Atau dua negeri di Borneo itu sekadar dipermainkan BN dengan janji-janji semalam?

Setelah 53 tahun Malaysia dibentuk, wujud pelbagai tuntutan terhadap kerajaan dibuat termasuklah tuntutan untuk berpisah dari persekutuan daripada kumpulan-kumpulan tertentu. Semua keadaan ini, dipercayai berlaku akibat wujudnya ketidakadilan pembahagian hasil ekonomi akibat pemusatan ekonomi oleh kerajaan BN yang dilihat hanya menguntungkan ‘orang-orang Semenanjung’.

Hakikatnya, pembangunan infrastruktur, jaringan jalanraya, elektrik dan kemudahan awam lain seperti pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak memang jauh ketinggalan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Keadaan semakin buruk apabila isu agama dan perkauman yang timbul dalam polemik kalimah Allah dan isu tanda Salib yang tercetus di Semenanjung mula memberikan reaksi negatif masyarakat Sabah dan Sarawak yang bimbang dan tidak selesa dengan isu yang timbul.

Rentetan itu, parti-parti politik tempatan di Sabah dan Sarawak, mula memainkan sentimen ‘anti-Malaya’ untuk meraih keuntungan politik meski secara dasarnya, mereka menjalinkan hubungan yang sangat akrab dengan Umno-BN malah merupakan sekutu penting dalam memastikan BN terus mentadbir.

Dalam situasi ini, DAP dilihat mengambil tanggungjawab untuk memupuk kesedaran sejarah dan politik khususnya di Sabah dan Sarawak dengan melancarkan kempen-kempen Impian Malaysia dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga khususnya yang menetap di luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Begitu juga dengan melancarkan Gerakan Batu Sumpah di Sabah pada Ogos 2014 yang merupakan kempen DAP sebagai ingatan kepada tiga jaminan Kerajaan Persekutuan ke atas Sabah melibatkan kebebasan beragama, kuasa kerajaan negeri ke atas tanah, dan pemeliharaan adat dan tradisi seperti yang dinyatakan pada Batu Sumpah Keningau yang didirikan pada 31 Ogos 1964, setahun selepas pembentukan Malaysia.

Ini termasuk satu usul ke Parlimen pada Mei lalu supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi mengembalikan status Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 yang antara lain membetulkan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang gagal diteliti dan menyebabkan Sabah dan Sarawak diturun-taraf menjadi satu daripada 13 buah negeri dalam Malaysia. – Roketkini.com


Tiada ulasan: