Sabtu, 3 September 2016

FAM usah buang masa hukum pembocor rahsia, nasihat pengkritik sukan

 
FAM tidak seharusnya mengutamakan isu remeh sehingga lari daripada tanggungjawab asal untuk meningkatkan kembali mutu bola sepak negara.


Khoo-Kay-Kim_fam_600


PETALING JAYA: Pengkritik sukan membidas tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercakaran sesama sendiri, susulan penyerahan pendrive mengandungi bukti ketirisan badan induk bola sepak itu oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Menteri Belia dan Sukan.

Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, usaha FAM mengambil tindakan terhadap pembocor maklumat itu hanya membuang masa kerana tugas utama badan induk itu adalah untuk memulihkan prestasi dan kualiti bola sepak negara yang kian merudum.

“Mengambil tindakan terhadap individu (membocorkan maklumat) bukan begitu penting, kita nak tengok apa akibatnya. Adakah dengan mengambil tindakan itu, mutu bola sepak akan bertambah maju, kalau tidak buang masa sahaja.

“Mereka perlu fokus membangunkan bola sepak, bukannya bergaduh sesama sendiri,” katanya kepada FMT sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis lalu yang tindakan tegas akan dikenakan terhadap pembocor rahsia, selepas mengetahui isi kandungan sebenar pemacu pena itu daripada Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Khoo berkata, FAM juga perlu bersikap terbuka dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika benar ada masalah rasuah dalam badan induk bola sepak itu.

Katanya, jawatankuasa tertinggi FAM juga perlu bermuhasabah diri dan meletak jawatan jika mereka gagal menggalas tugas untuk membangunkan bola sepak negara.

“Kalau mereka sudah dipilih dan diberi tugas (tetapi) dalam dua, tiga tahun tidak ada kemajuan, mereka sendiri perlu berundur. Jangan tunggu sampai ada pergaduhan dan sebagainya sehingga dipaksa untuk dipecat, kita tidak mahu sampai ke tahap itu,” katanya.

Tiada ulasan: