Khamis, 15 September 2016

Benarkah Anwar Ibrahim itu bersalah, Muhyiddin?

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Ketika Anwar Ibrahim didapati bersalah meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada tahun 1999, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah anggota kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Sebagai menteri, Muhyiddin tidak membuat komen tentang pemenjaraan Anwar walaupun pada hari Anwar dipecat Mahathir, hanya beliau menteri yang berani menyertai perhimpunan menunjukkan sokongan pada Anwar.
 
Bagaimanapun apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara kali kedua tahun lalu kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, Muhyiddin adalah anggota kabinet Datuk Seri Najib Razak pula. 
 
Dalam kedua-dua keadaan, Muhyiddin hanya berdiam diri dan tidak membuat sebarang komitmen untuk menyatakan sama ada Anwar sebenarnya bersalah atau tidak. 
 
Namun kini bos baru Muhyiddin, Mahathir Mohamad mahu berbaik semula dengan Anwar. Parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedia bekerjasama dengan parti isteri Anwar, PKR.
 
Malah dikhabarkan peguam kedua-dua parti sudah diarahkan untuk bekerjasama mendapat perintah menangguhkan penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang difailkan oleh Anwar. 
 
Mahathir melihat ini peluang untuk ”menyusah dan menekan lagi” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan. Anwar pun memang jelas mensasarkan natijah yang sama. 
 
Namun parti Anwar meletakkan syarat bahawa PKR hanya boleh bekerjasama dengan PPBM jika parti itu berkongsi wawasan dan ideologi reformasinya serta bersetuju menjayakan agenda PKR membebaskan Anwar dari penjara.
 
Apakah pandangan sebenar Muhyiddin terhadap Anwar?
 
Anehnya, Muhyiddin yang kini berada di pihak pembangkang masih tidak berubah pendiriannya dalam isu pemenjaraan Anwar.
 
Beliau hanya berani berkata, PKR harus membantu PPBM menumbangkan Umno-BN terlebih dahulu, baru agenda utama PKR itu dapat dilaksanakan.
 
Soalnya, di sanubari Muhyiddin ini adakah Anwar sebenarnya peliwat seperti yang pernah diwar-warkan oleh bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad?
 
Adakah kerana percaya Anwar bersalah maka Muhyiddin tidak mahu menyokong agenda utama perjuangan PKR yang jelas itu? 
 
Atau, adakah kerana tidak mahu berbalah dengan Mahathir pengerusi parti barunya itu maka Muhyiddin tidak menyambut syarat PKR untuk meletakkan agenda pembebasan Anwar sebagai asas kerjasama dengan PKR? 
 
Memang boleh difahami bahawa ketika Anwar dijatuhi hukuman kali pertama, Muhyiddin hanya seorang ahli Kabinet biasa dan beliau pula gerun untuk mencabar pemikiran Mahathir tentang moral Anwar.
 
Lantas boleh difahami mengapa Muhyiddin tidak membantah apatah lagi mahu menyokong dakwaan Anwar bahawa beliau sebenarnya difitnah – oleh Mahathir sendiri! 
 
Pada kali kedua Anwar dijatuhi hukuman penjara, Muhyiddin ialah Timbalan Perdana Menteri. Taukenya ialah Datuk Seri Najib. Sekali lagi Muhyiddin kelu menghadapi isu pemenjaraan Anwar. 
 
Maka demi menjaga kedudukannya ketika itu, Muhyiddin keberatan menyatakan pendiriannya dalam kes Anwar itu. Mungkin pendiriannya tidak elok timbalan perdana menteri bersengketa dengan mahkamah.
 
Muhyiddin sedar PPBM perlukan sokongan PKR
 
Bagaimanapun kini Muhyiddin ialah Presiden parti pembangkang baru dan sudah “berpatah arang dan berkerat rotan” dengan Umno. 
 
Malah Muhyiddin mahu menumpaskan Umno. Beliau mengunjurkan jika dapat mempengaruhi empat peratus pengundi Umno-BN menyokong pembangkang, 45 kerusi Parlimen Umno-BN akan tumbang.
 
Muhyiddin sedar satu prasyarat ke arah itu ialah semua parti pembangkang mesti berbaik-baik dan bersatu ke arah itu. Ini termasuk PPBM dan PKR!
 
Namun Muhyiddin walaupun sudah berada saf hadapan pembangkang masih berahsia apakah pendiriannya yang  sebenar tentang Anwar. Benarkah Anwar itu peliwat, Muhyiddin?
 
Atau, adakah Muhyiddin masih diselimuti rasa gerun terhadap pengaruh Mahathir yang kini pengerusi PPBM dan terpaksa terus tunduk pada pendirian Mahathir bahawa Anwar itu seorang peliwat?
 
Sebab itu, agaknya Muhyiddin mahu menguis sahaja isu pembebasan Anwar ini ketepi sehingga “pembangkang berjaya menumbangkan Umno-BN” dahulu. 
 
Jika Muhyiddin tidak percaya Anwar itu peliwat, inilah masanya beliau meluahkan isi hatinya dan mengumumkan bahawa Anwar selama ini hanya difitnah. 
 
Sudah tentu jika beliau bertindak demikian PKR akan yakin dengan keluhuran isu hatinya terhadap Anwar dan perjuangan pembangkang. Tentu melonjak imej politiknya.
 
Sedihnya, Muhyiddin masih kelu dalam isu ini. Apakah kerana mencari laba politik beliau mahu menyorok kebenaran? Untuk menjadi pejuang kebenaran, Muhyiddin tidak boleh melengah-lengahkan pendedahan kebenaran.
 
Bagi PKR, soal Anwar bukan peliwat adalah inti perjuangannya. Tersungkurnya Anwar daripada hampir menjadi perdana menteri 18 tahun lalu adalah kerana fitnah beliau seorang peliwat. PKR masih mahu menegakkan kebenaran ini. 
 
Kini Mahathir dan parti barunya mendambakan kerjasama PKR. Namun Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti baru itu tidak berani bersikap jujur dan menyatakan sama ada Anwar itu benar-benar peliwat atau tidak!
 
Di mana sikap kepahlawanan pemimpin ini? Atau, beliau juga spesis haiwan politik yang hanya berkira untuk mengaut kemenangan politik tanpa perlu bertarung dengan hipokrasi?
 
 

Tiada ulasan: