Sabtu, 21 Mei 2016

Wartawan ‘tanpa nama’ sering dipercayai -Zahid

Wartawan media cetak dan elektronik pada masa kini bukan lagi menulis menggunakan mata pena, tetapi menulis di hujung jari.


zahid-hamidi


KUALA LUMPUR: Wartawan yang tidak mempunyai media secara sah, menggunakan internet dengan meletakkan namanya atau nama samaran kerap kali dianggap mempunyai kredibiliti yang sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut berlaku ekoran suntikan budaya kebencian dalam kalangan rakyat.

“Apabila pemikiran kebencian ini menenggelami kebenaran, maka jadilah suatu berita walaupun penulisan itu tidak sampai ke tahap kredibiliti,” katanya sewaktu berucap dalam Majlis Malam Wartawan Malaysia 2016 di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Ujar Ahmad Zahid lagi, wartawan media cetak dan elektronik pada masa kini bukan lagi menulis menggunakan mata pena, tetapi menulis di hujung jari.

Oleh itu, beliau menggesa agar wartawan masa kini bersaing bagi membentuk persepsi di samping tidak melupakan etika kewartawanan.

Malah, dalam era dunia tanpa sempadan peranan wartawan juga berubah dan tidak lagi jumud kepada sesuatu perkara.

“Kita lihat, peranan wartawan telah berubah dan dunia kewartawanan tidak lagi jumud jauh dari statik atau beku. Media juga berubah dari media tradisional atau konvensional kepada digital.

“Ertinya, kita hadapi persaingan dan di mana dunia-dunia membangun melihat bahawa kewartawanan digital melebihi jumlah bidang kewartawanan tradisional atau konvensional,” katanya

Bukan itu sahaja, kewibawaan sesetengah pengamal media juga penting dalam menghadapi era digital.

“Dalam keadaan inilah, kewibawaan akan meletakkan media kita dalam skala satu hingga sepuluh. Apabila sesuatu kewibawaan itu menjadi kebolehpercayaan tinggi, sudah tentu ia boleh dipercayai,” ujarnya.

Tiada ulasan: