Jumaat, 27 Mei 2016

Terima lebih AS$1 bilion dalam akaun peribadi, sudahkah Bank Negara siasat Najib?

Tony Pua 3
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, hari ini mempersoal sama ada Bank Negara telah menjalankan siasatan ke atas wang berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kemungkinan berlakunya pengubahan wang haram.

Beliau mengajukan pertanyaan itu berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara Switzerland telah memulakan prosiding jenayah terhadap Bank BSI SA kerana gagal mencegah penyelewengan dan kesalahan rasuah membabitkan pegawai kerajaan berkaitan dengan 1MDB.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa kewangan Singapura telah menutup operasi Bank BSI di pulau itu atas sebab “pelanggaran serius keperluan anti pengubahan wang haram, pengawasan operasi pengurusan bank yang lemah dan salah laku oleh kakitangan bank.”

“Apa yang Bank Negara lakukan bagi melindungi integriti sistem kewangan kita? Di negara lain, semua syarikat yang berurusan dengan 1MDB mula dikenakan tindakan.

“Sebelum ini, Bank Negara menggembar-gemburkan bagaimana 1MDB memindahkan wang berjumlah AS$1.83 bilion secara haram ke luar negara dan menuntut agar syarikat itu mengembalikan wang tersebut dengan segera.

“Namun, akhirnya 1MDB hanya perlu membayar sedikit denda yang tidak dinyatakan jumlahnya. Malah, hari ini, Bank Negara membenarkan dirinya dipergunakan oleh individu-individu yang mungkin melakukan pengubahan wang haram dengan mengatakan kes 1MDB ditutup,” katanya.

Menurut Tony, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Puad Zarkashi baru-baru ini memberitahu pelajar-pelajar Malaysia di Australia bahawa Najib telah berbincang dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan menerima kelulusan untuk membawa masuk wang itu.

“Jadi, soalan saya untuk Bank Negara ialah, benarkah Najib mendapat kelulusan untuk membawa masuk wang sebanyak itu dan benarkah Bank Negara mengetahui sumber dana tersebut? Jika ya, ia telah mencalarkan reputasi negara,” katanya.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menegaskan, walaupun Najib dan sekutunya dalam UMNO-BN mendakwa wang itu merupakan ‘derma’ dari kerabat Arab Saudi, ia tetap tidak membebaskan Najib dari skop Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2003.

Katanya, ia berikutan ‘derma’ tersebut mungkin berasal dari sumber tidak sah atau haram melalui satu mekanisme pengubahan wang haram yang kompleks.

“Oleh itu, Bank Negara perlu menjelaskan sama ada mereka telah menyiasat Najib atau belum. Berdiam diri bukanlah satu pilihan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kegagalan Bank Negara untuk menyiasat atau mengesahkan perkara itu membuktikan bahawa agensi tersebut telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi integriti sistem kewangan di negara ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: