Khamis, 5 Mei 2016

SPRM: Guan Eng, isteri beri keterangan esok

SINAR HARIAN


GUAN-ENG


GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew esok bagi membantu siasatan berhubung pembelian banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, Guan Eng dan isteri dijangka memberi keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Guan Eng dan isteri akan dirakam percakapan di SPRM Pulau Pinang jam 9.30 pagi esok," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini 62 saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan kepada SPRM dan meminta pihak berkuasa menyiasat pembelian banglo oleh Guan Eng yang didakwa di bawah harga pasaran dan urusan jual beli tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

Pembelian banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas.

Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian ke atas hartanah berkenaan.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin. - Bernama


Tiada ulasan: