Isnin, 30 Mei 2016

RUU: Berikan hak kebebasan mahkamah, orang Islam

SINAR HARIAN

Dr Shamrahayu Ab Aziz
Dr Shamrahayu Ab Aziz


PUTRAJAYA - Mahkamah syariah sewajarnya diberikan hak dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka yang tidak mengganggu bidang kuasa mahkamah sivil, begitu juga sebaliknya, kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata, usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas, tidak sedikit pun mengganggu bidang kuasa mahkamah sivil tetapi ia memperkasa institusi mahkamah syariah.

Ia tidak mengganggu bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang dan perlembagaan kepada mahkamah sivil, sekiranya ada pihak tertentu yang mempertikaikan cadangan pindaan itu, mereka seharusnya melihat semula apakah yang bercanggah dari segi perlembagaan, katanya.

"Kalau mereka cuma meletakkan satu anggapan bahawa ia membuka laluan supaya hudud boleh diamalkan, ia tidak betul kerana mahkamah syariah belum lagi boleh mengendalikan kes berkaitan curi, merompak atau membunuh.

"Kalau sampai kita membicarakan kes curi dan bunuh di mahkamah syariah, barulah ia dikatakan menggugat Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau kepada media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Wasatiyyah dan Perlembagaan Malaysia, Satu Pandangan' di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dr Shamrahayu berkata orang Islam seharusnya diberikan kebebasan hak beragama sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan konsep perlembagaan memberikan hak kepada orang Islam untuk kebebasan beragama selagi ia tidak bercanggah dengannya.

Susulan itu, pembentangan cadangan rang undang-udang pindaan berkenaan tidak sepatutnya dipolemikkan, katanya.

Beliau berkata tentangan dalam kalangan ahli politik bukan Islam mengenai cadangan pindaan itu haruslah ditangani dengan meningkatkan kefahaman mereka mengenai konsep meraikan kepelbagaian sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Dr Shamrahayu menarik perhatian bahawa rang undang-undang mengenai mahkamah syariah itu juga bukanlah kali pertama diperkenalkan.

"Ketika diperkenalkan pada 1965, ia mendapat banyak sokongan dan ketika pindaan kali pertama pada 1984 tidak pernah ada bantahan seperti yang dihadapi hari ini," katanya.

"Ketika 1965, denda adalah RM1,000 dan hanya selepas 20 tahun ia dipinda kepada RM3,000 namun persoalan mengenai pindaan itu tidak pernah timbul kerana ia tidak mengubah apa-apa bentuk jenis kesalahan kerana yang diubah cuma penambahan jumlah hukuman malah tidak mengacau orang bukan Islam," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: