Isnin, 9 Mei 2016

Rumah jadi wakaf mengaji al-Quran

Rumah jadi wakaf mengaji al-Quran
Muhammad Nasir (duduk, dua, kiri) bersama sebahagian peserta Rumah Ngaji Kampung Derdap, Limbat, semalam.
 
 
KOTA BHARU - Rumah yang dibina di tanah pemberian ibu bapa dijadikan wakaf mengaktifkan al-Quran menerusi Rumah Ngaji Kampung Derdap Limbat.

Pengasasnya, Saadah Ismail berkata, tempat berkenaan mempunyai 20 peserta diaktifkan sejak Disember tahun lalu apabila ia mendapat sambutan dalam kalangan pesara dan orang kampung.

“Dahulu arwah ayah, Penggawa Ismail Mat Saat ada tempat khas untuk orang kampung belajar mengaji al-Quran, tetapi apabila beliau meninggal dunia, tempat itu kini diwakafkan menjadi madrasah.

“Setelah saya pencen sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Raja Abdullah dua tahun lalu, saya ambil keputusan menjadikan rumah yang dibina lebih setahun ini sebagai tempat mengaji al-Quran,” katanya selepas Majlis Perasmian Rumah Ngaji Derdap, Limbat, Pasir Tumboh, di sini.

Hadir merasmikan majlis, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Muhammad Nasir Hamzah.

Saadah berkata, setelah mendapat al-Quran percuma daripada Karangkraf, mereka menumpukan usaha mengaji bersama pesara kerajaan dan swasta.

“Saya terpanggil untuk mengembangkan ilmu mendalami al-Quran bagi meneruskan usaha arwah bapa sebagai legasi kepada generasi akan datang.

“Semoga usaha ini diberkati dan saya berharap ia mendapat sambutan penduduk setempat dan dari kampung berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nasir menyarankan ibu bapa supaya sentiasa memeriksa keadaan dan pergerakan anak-anak, terutama menjaga solat mereka.

“Jadikan al-Quran sebagai panduan, jangan hanya memberi tumpuan terhadap akademik sahaja kerana al-Quran dapat membentuk masyarakat berakhlak dalam jangka masa panjang,” katanya.


Tiada ulasan: