Isnin, 9 Mei 2016

Raja Zarith: 'Ini gambaran yang sangat menyayat hati'


Raja Zarith: 'Ini gambaran yang sangat menyayat hati'
Foto menyentuh hati yang dimuat naik dalam Facebook Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini.


SHAH ALAM - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah merakamkan ucapan takziah kepada waris keluarga Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mohammad Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad yang terlibat dalam kejadian nahas helikopter terhempas berhampiran Sungai Batang Lupar di Sebuyau pada Khamis lalu.

Menerusi kemas kini status di laman sosial Facebook hari ini, Raja Zarith Sofiah turut memuat naik foto Datin Mastura Mohd Yazid bersama anak-anaknya yang sedang dalam perjalanan menaiki pesawat bagi menghantar jenazah Allahyarham dari Kuching ke Ipoh.

“Saya terfikirkan ketika kita semua sedang meraikan sambutan Hari Ibu manakala balu dan seorang ibu, Datin Mastura Mohd Yazid bersama anaknya sedang menemani keranda Allahyarham Datuk Mohammad Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad dari Kuching ke Ipoh bagi upacara pengebumian.

“Ia adalah gambar yang sangat menyayat hati untuk Datin Mastura dan anak-anaknya,” tulis baginda.

Selain daripada itu, Raja Zarith Sofiah turut menyampaikan ucapan takziah waris mangsa lain yang terlibat dalam kejadian tersebut iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri serta juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan agar waris mangsa terlibat diberikan kekuatan ketika menghadapi saat-saat sukar kehilangan orang yang tersayang.

Khamis lalu, helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum terputus hubungan dan hilang dari radar.

Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau.


Tiada ulasan: