Khamis, 12 Mei 2016

Pesawah P Pinang mula tanam padi selepas musim kemarau

MALAYSIAKINI




Pesawah di Pulau Pinang berasa lega bahawa mereka boleh memulakan penanaman semula padi selepas fenomena El-Nino berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, kerja-kerja pengairan telah bermula.

"Di bahagian pulau terutama di Balik Pulau dekat sini, sungai-sungai tidak lagi kering kerana hujan turun secara berterusan, oleh itu pesawah boleh menggunakan air sungai untuk penanaman padi.

"Bagi tanah besar, di kebanyakan kawasan, pesawah telah memulakan penanaman semula padi dan hanya pesawah di Seberang Perai Utara belum memulakan penanaman semula," katanya kepada Bernama semalam.

Dr Afif juga berkata pada masa ini, pelepasan air untuk tujuan pertanian ialah mengikuti jadual yang ditetapkan.

Seorang pesawah di Balik Pulau Muhamad Sharifuddin Ishaq, 52, berkata beliau bersyukur kerana kini boleh menanam semula padi dan memperoleh pendapatan untuk keluarganya.

"Saya telah mengalami kerugian akibat kemarau dan sekarang saya dapat menanam semula padi, saya berasa lega," katanya.

Khairul Akram Ismail, 44, yang juga seorang pesawah berkata padi memerlukan kira-kira 100 hari sebelum boleh dituai dan berharap semuanya berjalan baik kali ini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata kapasiti empangan Teluk Bahang pada masa ini ialah 52.7 peratus manakala kapasiti empangan Air Itam berada pada 51.3 peratus.

Empangan di Teluk Bahang boleh bertahan selama lima bulan lagi manakala empangan Air Itam boleh bertahan selama sebulan setengah.

Bagi Sungai Muda yang membekalkan 80 peratus daripada bekalan air Pulau Pinang, paras air direkodkan pada tahap normal 2.66m.- Bernama


Tiada ulasan: