Rabu, 11 Mei 2016

Pemuda Amanah kecam salah guna Akta Hasutan, bersolidariti bersama Isham Rais

MALAYSIA DATELINE


Lawan akta hasutan solidariti bersama Isham RaisLawan akta hasutan solidariti bersama Isham Rais


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan kerajaan yang menggunakan Akta Hasutan terhadap ahli politik dan aktivis sosial seperti terjadi kepada Hishamuddin Rais.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata kes Hishamuddin adalah lambang pencabulan hak asasi dan demokrasi di negara ini.

"Pemenjaraan ke atas beliau pasti akan menjadi episod hitam kepada perjuangan demokrasi di negara ini.

"Saudara Isham Rais adalah ikon rakyat yang tidak pernah putus asa menyedarkan rakyat peri pentingnya amalan demokrasi yang adil dan bebas dituntut demi kebebasan dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta Hasutan menurut beliau adalah salah satu juzuk undang-undang 'draconian' yang digubal oleh pemerintah negara ini sejak sebelum merdeka lagi.

"Kini Isham Rais akan berhadapan dengan penentuan akhir pendakwaan terhadap beliau bawah akta zalim ini pada 16 Mei 2016 di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan rayuan juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau bukan sahaja didapati bersalah, malah dikenakan hukuman penjara selama 8 bulan," kata kenyataan itu.

Pemuda AMANAH katanya yang berjuang atas prinsip keadilan, kebebasan, hak demokrasi dan perlembagaan tegas dengan pendirian bahawa Akta Hasutan perlu ditentang dan dihapuskan.

"Ia jelas satu akta yang bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sejagat dan konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi.

"Keadilan dan kebebasan adalah prinsip yang dianjurkan Islam dan jelas akta ini bertentangan dengan prinsip-prinsip ini," katanya

Kini katanya, rakyat tidak boleh membiarkan ikon rakyat sendirian.

"Pemuda Amanah menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan dan pembebasan beliau pada 16 Mei 2016 ini.

"Rakyat juga diseru untuk hadir beramai-ramai ke Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada perjuangan saudara Isham Rais," katanya

Tiada ulasan: