Isnin, 9 Mei 2016

Pembangunan bukan punca banjir di Putrajaya

SINAR HARIAN


Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan Tengku Mansor


PUTRAJAYA - Kepesatan pembangunan bukan faktor berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di sini Sabtu lepas, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, siasatan awal oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir tersebut berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun-daun yang jatuh ke dalamnya.

Selain itu, katanya kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu pada bacaan 180 milimeter berterusan kira-kira sejam semasa kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air di dalam longkang begitu cepat.

"Ini adalah fenomena luar biasa untuk Putrajaya di mana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun-daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.

"Hujan ini faktor semulajadi, kita tak boleh kawal ... walaupun perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan sama sekali," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya telah mengarahkan PPj untuk mengkaji semula jenis pokok-pokok yang ditanam selain memastikan laluan air sentiasa dipantau bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang.

Dalam kejadian antara 6.30 petang hingga 7.30 malam Sabtu, beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala ke Dataran Gemilang, di Presint 3 dan Presint 4 di sini ditenggelami air, antara lain menyebabkan dua buah kenderaan terperangkap namun tiada mangsa di dalamnya. - Bernama



Tiada ulasan: