Isnin, 9 Mei 2016

Pas tolak tawaran PKR bersama hadapi PRU14

Mohd Amar Nik Abdullah


KUALA LUMPUR - Pas menolak tawaran PKR agar parti Islam itu menyertai Pakatan Harapan di samping DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menghadapi PRU14.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya Pas lebih berminat jika PKR dapat menyertai Blok Ketiga yang ditubuhkan Pas bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Kalau tanya saya, saya suka nak ajak PKR untuk sertai Pas dalam Blok Ketiga. Tapi setakat ini kita tiada perbincangan lagi ke arah itu.

“Kita juga belum bincangkan secara rasmi mengenai tawaran (Mohamed) Azmin,” katanya ketika ditemui media selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd dengan Rising Promenade Sdn Bhd di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin ajak Pas kembali bersama DAP, PKR]

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau berharap Pas dan Amanah dapat bergerak bersama PKR dan DAP bagi menghadapi PRU14 sebagai satu pasukan.

Kenyataan Mohamed Azmin dibuat susulan kekalahan PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan pertelingkahan kedua-dua parti itu di beberapa kerusi.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas yakin penyertaan PKR akan memperkukuhkan lagi Blok Ketiga bagi menghadapi PRU14.

“Kita menaruh harapan lebih besar kepada Blok Ketiga untuk masa depan politik negara,” katanya.


Tiada ulasan: