Ahad, 1 Mei 2016

Najib: Ahmad Razif kekal MB Terengganu

Ahmad Razif Abd Rahman
Ahmad Razif Abd Rahman


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Ahmad Razif Abd Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan akan terus berkhidmat seperti biasa.

Menurut Najib, dalam pertemuannya dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, kata sepakat telah dicapai agar Ahmad Razif kekal dengan jawatan yang disandangnya itu.

"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib dipetik Astro Awani.

Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan berjalan lancar di Terengganu.

Najib bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan beliau dengan Sultan Mizan pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

Sultan Mizan sebelum ini melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat 22 April.

Perdana Menteri kemudian memutuskan untuk menghadap Sultan Terengganu bagi membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Razif sebagai menteri besar susulan kontroversi itu.


Tiada ulasan: