Selasa, 3 Mei 2016

Mukhriz saman setiausaha akhbar PM kerana memfitnahnya

MALAYSIAKINI




Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri - Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kerana memfitnahnya.

Ini adalah berkaitan dengan empat kenyataan media Tengku Sharifuddin yang dikeluarkannya antara 15 April dan 26 April.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Haniff Katri and Co.

Kenyataan itu mendakwa Mukhriz, selaku bekas menteri besar Kedah, berkomplot bersama bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Mukhriz mendakwa kenyataan itu mencadangkan bahawa beliau akan diberikan jawatan perdana menteri sebaik sahaja Muhyiddin berundur selepas menggantikan Najib.

Bekas menteri besar itu mendakwa empat kenyataan Tengku Sariffuddin memberi gambaran seolah-olah beliau seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi perdana menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan rakyat.

Menurut Mukhriz, kenyataan itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa beliau mengamalkan politik kotor, bertindak mengikut telunjuk bapanya dan seorang yang tidak memiliki prinsip dan tidak bermoral.

Sehubungan itu, Mukhriz menuntut gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi berterusan yang akan dinilai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi bagi menyekat Tengku Sarifuddin daripada mengeluarkan sebarang kenyataan media yang sama.

Malaysiakini telah menghubungi Tengku Sarifuddin untuk mendapatkan komennya.

Tiada ulasan: