Ahad, 8 Mei 2016

Malaysia johan qari, qariah Tilawah Antarabangsa

SINAR HARIAN


Malaysia johan qari, qariah Tilawah Antarabangsa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Tilawah Bahagian Qari, Wan Ainudin Hilmi Abdullah dari Malaysia pada majlis penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan Quran Peringkat Antarabangsa kali ke 58 hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Peserta Malaysia Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Nor Azrah Ayub muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Mereka, masing-masing menerima hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan serta wang tunai RM40,000.

Wan Ainuddin Hilmi yang merupakan naib johan pada majlis yang sama tahun lepas memperoleh markah 94.8 peratus, manakala Nor Azrah mendapat 91 peratus.

Naib johan qari dimenangi Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki dari Brunei dengan markah 90.2 peratus dan tempat ketiga, Awaludin Mohor dari Indonesia dengan markah 86.8 peratus.

Qariah dari Indonesia Mastia Lestaluhu mendapat tempat kedua dengan markah 87.5 peratus, manakala qariah Brunei, Siti Huzzaimah Yadey Rosli mengumpul 85.9 peratus merangkul tempat ketiga.

Hadiah kepada qari dan hafiz disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, manakala isteri Jamil Khir, Datin Seri Fatmawati Saidin menyampaikan hadiah kepada qariah dan hafizah.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha.

Sementara itu bagi kategori hafazan yang diperkenalkan dua tahun lepas, diungguli hafiz dan hafizah Mesir, Abdulla Said Mohamed Bayoumy Elkazzaz dinobatkan sebagai johan dengan markah 96.6 peratus manakala Mayada Mahmoud Mahmoud Abdelrahim mengumpul markah 90.8 peratus.

Mereka, masing-masing menerima kepingan emas bernilai RM40,000 tajaan YaPEIM, wang tunai RM20,000 dan piala iringan.

aib johan hafiz diraih peserta Malaysia Mohamad Omar Mansu (94.5 peratus), manakala tempat ketiga Hamzah Alhabasy dari Amerika Syarikat (93.5 peratus).

Tempat kedua kategori hafizah disandang peserta negara Farihah Zulkifli dengan markah 90.8 peratus, manakala peserta Lubnan, Asma Adra meraih tempat ketiga (90.5 peratus).

Wan Ainuddin Hilmi, 34, yang ditemui selepas penyampaian hadiah berkata kemenangan itu merupakan cita-citanya yang dipendam selama ini.

"Ini kali ketiga saya mencuba sejak 2010 bagi peringkat antarabangsa. Persiapan saya merangkumi pelbagai sudut seperti kesihatan, pemakanan selain mengamalkan doa bersama keluarga," katanya.

Nor Azrah, 38, menyifatkan kemenangan itu sebagai anugerah paling bermakna daripada Allah atas kecintaannya kepada Al-Quran.

"Kami hadiahkan kejayaan kami kepada negara. Usaha kami berbaloi memandangkan persaingan sengit antaranya Indonesia dan Maghribi," kata wanita kelahiran Johor itu.

Jamil Khir pada 2 Mei lalu merasmikan majlis tilawah antarabangsa tahun ini bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara" disertai 69 peserta dari 69 negara iaitu 38 bagi kategori tilawah dan 31 bagi hafazan.
Kesemua peserta dinilai 15 hakim profesional antaranya dari Malaysia, Mesir, Arab Saudi, Qatar, Lubnan, Jordan, Indonesia dan Brunei. - Bernama   

 

Tiada ulasan: