Khamis, 19 Mei 2016

Larang rakyat ke luar negara, kerajaan dan imigresen salahguna kuasa?

gobindsingh

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Tidak ada peruntukan spesifik dalam Akta Imigresen yang membenarkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen menghalang seseorang warganegara Malaysia daripada ke luar negara atas sebab memburukkan kerajaan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Biro Guaman DAP, mempersoal sama ada keputusan kerajaan membenarkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sakib Kusmi, untuk menyekat mana-mana individu yang dianggap sebagai memburukkan kerajaan itu adalah penyalahgunaan kuasa.

“Bukankah menggunakan kedudukan untuk menghalang orang ke luar negara itu jelas menunjukkan salahguna kuasa? Dan ini juga untuk tujuan khusus – kepada mereka yang mengkritik kerajaan.

“Jadi, bolehkah Ketua Pengarah menggunakan kuasa yang tidak dirujuk secara spesifik dalam sebarang undang-undang untuk menghalang rakyat?” katanya sewaktu dalam sidang Parlimen di sini hari ini.

Jabatan Imigresen, seperti dilapor media hari ini, menyatakan bahawa terdapat penguatkuasaan baru untuk menghalang mana-mana individu yang memburukkan kerajaan dari ke luar negara selama tiga tahun atas alasan mahu melindungi imej Malaysia.

Pada masa sama, Sakib memaklumkan kepada media bahawa beliau diberi kuasa penuh oleh Kerajaan Persekutuan untuk menentukan sama ada seseorang individu itu disifatkan sebagai memburukkan kerajaan atau tidak.

Menurut Gobind, keputusan sama ada kuasa Ketua Pengarah Imigresen tersebut patut dibenarkan atau tidak sedang dibincangkan dalam kes Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di mahkamah, justeru ia tidak boleh diputuskan oleh mana-mana pihak di ruang awam.

“Isu ini sedang dibincangkan dalam kes mahkamah melibatkan sekatan Tony Pua ke luar negara oleh Jabatan Imigresen pada Julai tahun lalu.

“Sama ada Ketua Pengarah ada kuasa atau tidak melakukan demikian, ia merupakan satu subjudis (di bawah pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan), jadi Datuk Sakib tidak boleh mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka,” kata Gobind yang juga seorang peguam.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berpendapat bahawa sekatan imigresen tersebut merupakan satu tindakan tidak munasabah yang bercanggah dengan prinsip demokrasi negara.

Malah, katanya, ia membuktikan bahawa kerajaan UMNO Barisan Nasional semakin terdesak untuk terus memerintah sehingga sanggup menggunakan alasan ‘menjaga nama baik negara’ untuk kepentingannya sendiri.

“Langkah itu sebenarnya tidak menjaga nama baik negara, sebaliknya semakin mencalarkan imej Malaysia sebagai negara demokrasi. Tidak cukupkah selama ini Malaysia diketawakan media dan agensi antarabangsa?

“Ia juga menunjukkan bahawa mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan kebebasan bersuara untuk mengkritik salahlaku kerajaan boleh ditarik balik haknya untuk ke luar negara.

“Atas sebab itu, saya menggesa Kementerian Dalam Negeri campur tangan dan menghentikan tindakan yang tidak adil dan mengarut seperti itu,” katanya dalam kenyataan media.

Selain Tony, Jabatan Imigresen sebelum ini turut menghalang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli; Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan pemilik akhbar The Edge, Tong Kooi Ong dari ke luar negara tanpa sebab kukuh. – Roketkini.com


Tiada ulasan: