Sabtu, 28 Mei 2016

Ketua Muslimat Perak calon PAS bagi PRK Kuala Kangsar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dipilih sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.   
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara itu di padang berhampiran markas PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan di sini malam ini.
 
Dr Najihatussalehah, 50, yang berasal dari Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur.
 
Beliau juga merupakan Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2015-2017.
 
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Ahli  Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
 
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
 
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).
 
Calon BN bagi parlimen itu dijadual diumumkan petang esok oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Sementara itu parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun.
 
 

Tiada ulasan: