Rabu, 11 Mei 2016

“Kami tak dapat balas jasa baik MB”

OLEH NAZLI IBRAHIM


PUCHONG: Rosli Abdul Rahim terharu apabila menerima sumbangan RM10,000 dihulurkan Menteri Besar bagi menampung kos pendidikan anaknya, Ahmad dan Muhammad yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Pengurusan (MSU), Shah Alam.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan untuk membiyai perbelanjaan harian dan peralatan pembelajaran pasangan kembar berkenaan.

CP2A5052“Terima kasih kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana memberi sumbangan ini kepada anak saya.

Kami sekeluarga tidak dapat membalas budi baik Menteri Besar. Terima kasih tidak terhingga.

“Sumbangan ini digunakan untuk Ahmad yang memang memerlukan komputer riba sebagai pelajar jurusan grafik dan lain-lain untuk perbelanjaan harian mereka berdua. Kos memang agak tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafie ketika melawat Ahmad dan Muhammad di kediamannya di Kampung Tengah di sini, hari ini.

Ahmad dan Muhammad masing-masing melanjutkan pelajaran mereka selepas memperolehi keputusan baik pada peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.

CP2A5067Ahmad melanjutkan pelajaran dalam jurusan Reka Bentuk Grafik manakala Muhammad pula memilih jurusan Teknologi Maklumat (IT).

Sementara itu, ketika menyentuh perkembangan rawatan diperlukan Ahmad dan Muhammad, Rosli berkata, pembedahan pangkal kaki bagi membolehkan anak-anaknya memakai kaki palsu baru terpaksa dibatalkan selepas mendapat nasihat doktor.

“Pembedahan kaki untuk kaki palsu baru tidak dapat dibuat kerana risiko tinggi. Doktor pakar bius kata paru-paru mereka tidak kuat dan boleh terjejas. Saya sudah bincang dengan Ahmad dan Muhammad, mereka kata pada saya tidak perlu buat.

“Kebetulan kerusi roda baru pun sudah ada, jadi lebih mudah pakai kerusi roda sahaja untuk membawa beg dan sebagainya tetapi kalau pakai kaki palsu memang agak susah sikit,” katanya.-AA-


Tiada ulasan: