Ahad, 29 Mei 2016

Isu Sabah: Kerajaan tidak akan layan tuntutan Filipina

SINAR HARIAN

Sabah
Sabah


KEPALA BATAS - Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina terhadap Sabah kerana negeri itu merupakan sebahagian daripada negara berdaulat seperti diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu sering ditimbulkan oleh pihak negara itu sebelum ini namun, Suruhanjaya Cobbold pada 1962 telah menetapkan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

"Keberadaan Sabah dalam Malaysia telah ditentukan melalui Suruhanjaya Cobbold, maknanya mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri, di bawah naungan payung UN (PBB) yang diiktiraf seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru KAFA peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Philippine Star baru-baru ini yang melaporkan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Duterte yang menang dalam pilihan raya presiden dijangka mengangkat sumpah pada 30 Jun ini. Beliau adalah Datuk Bandar Davao City selama hampir 22 tahun. - Bernama


Tiada ulasan: