Selasa, 3 Mei 2016

Empangan Timah Tasoh susut dua kali ganda sehari

MALAYSIAKINI





Paras air di Empangan Timah Tasoh di Padang Besar merekodkan penurunan sebanyak dua kali ganda iaitu pada kadar 0.04 meter setiap hari sejak dua hari lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi berkata selain cuaca panas dan kering akibat El Nino, penyusutan itu juga kerana kadar penggunaan air yang bertambah setiap hari semasa cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Hari Pekerja.

“Penyusutan ketara ini juga mungkin kerana kehadiran ramai pelancong ke negeri ini terutamanya di kawasan Padang Besar," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Paras air di Empangan Timah Tasoh menyusut 0.04 meter kepada 25.96 meter semalam berbanding 26.10 yang dicatatkan kelmarin.

Kadar itu adalah di luar daripada kebiasaan kerana sebelum ini paras air susut sekitar 0.01 atau 0.02 meter sahaja setiap hari, katanya sambil meminta orang ramai terus berjimat ketika menggunakan air.

Mohamad Nor Hafiz berkata bekalan di empangan itu masih boleh bertahan bagi tempoh sebulan iaitu sehingga akhir Jun jika kemarau masih berlanjutan.

Pengarah Jabatan Meteorologi (MET) Perlis, Muhammad Khalil Ab Aziz ketika dihubungi berkata suhu semasa di negeri ini setakat 3 petang semalam mencatatkan 37.3 darjah celcius berbanding 33.5 darjah celcius kelmarin.- Bernama


Tiada ulasan: