Selasa, 17 Mei 2016

Elak letak calon 'bidan terjun’ di Sungai Besar

PRK Sungai Besar
PRK Sungai Besar


SUNGAI BESAR - BN mampu mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar sekiranya meletakkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Muslimin Yahaya sebagai calon.

Presiden Kelab Usahawan Selangor (Kusel), Mohamad Zaini Md Taha berkata, Muslimin sebagai orang kanan Allahyarham Datuk Noriah Kasnon dilihat calon paling sesuai pada PRK nanti.

Mohamad Zaini antara rakan rapat Noriah mengakui, timbalan menteri itu sendiri pernah menyuarakan perkara itu kepadanya semasa mereka bersembang tentang perkembangan politik semasa kira-kira dua bulan lalu.

“Arwah ada cerita pada saya dia ingin bersara daripada politik. Arwah kata, jika dia bersara nanti, orang paling layak menggantikan tempatnya di Parlimen (Sungai Besar) ialah Muslimin.

“Arwah beritahu, Muslimin boleh buat kerja di kawasan ini dan dia adalah calon paling disukai segenap masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Zaini berkata, sejak menjadi SUSK kepada Noriah, Muslimin kerap turun padang dan lebih dekat dengan pengundi pelbagai bangsa serta seorang calon yang disifatkan sebagai ‘winnable candidate’.

“Muslimin biasanya akan turun tiga atau empat hari lebih awal jika ada program di kawasan. Dia lebih faham selok-belok Parlimen Sungai Besar dan mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan arwah,” katanya.

Katanya lagi, kredibiliti Muslimin sebagai seorang pemimpin yang disenangi di peringkat akar umbi mampu mengangkatnya sebagai calon pilihan untuk mewakili BN di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Jelasnya, Muslimin adalah adalah seorang guru jika bekas anak muridnya (yang layak) mengundi dalam PRK, ini satu kelebihan kepadanya.

“Saya nampak, Muslimin juga rapat dan disenangi wanita sebab beliau menjaga bosnya yang menjadi ketua wanita bahagian, selain mendapat tempat di hati pengundi Cina terutama di Sekinchan.

“Kita kena ingat, di Sekinchan BN tewas, jadi amat penting, BN memilih Muslimin yang kerap jumpa penduduk di Bagan untuk meraih sokongan pengundi Cina,” katanya.

Beliau berkata, BN diingatkan supaya tidak sesekali meletakkan ‘calon helikopter’ di parlimen itu memandangkan kawasan itu hanya menang tipis dalam PRU13 lalu.

Malah, katanya, jika ‘calon helikopter’ yang dipilih dalam PRK nanti, tidak mustahil kawasan itu bakal dimenangi pembangkang.

“Calon helikopter ni maksudnya, nak darat ke mana pun dia boleh darat. Janganlah letak calon bukan anak tempatan sebab dia tak tahu keadaan politik di sini.

“Calon parlimen ini mesti anak jati Sungai Besar dan orang yang disukai masyarakat. Di sini terdapat pelbagai etnik seperti Jawa, Banjar dan Melayu...semua ini kena ambil kira untuk jadi calon BN,” katanya.


Tiada ulasan: