Isnin, 23 Mei 2016

DUN Pulau Pinang tidak bincang isu jambatan ketiga - ADUN BN

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DUN Pulau Pinang tidak pernah berbincang mengenai cadangan kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga di negeri itu, kata ADUN Pulau Betong Datuk Farid Saad.
 
Pengesahan itu senada dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadhilah Yusof sebelum ini bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah memohon pembinaan jambatan ketiga di negeri itu daripada kerajaan Persekutuan. 
 
Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri memilih untuk membina terowong dasar laut kerana prosedurnya lebih mudah berbanding memohon jambatan ketiga daripada kerajaan Persekutuan.
 
"Baru dalam perbahasan (DUN Pulau Pinang) yang saya dengar dan Guan Eng kata kerajaan negeri pernah minta (peruntukan) tapi tidak pernah diterima. Lalu dijawab oleh Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) bahawa kerajaan negeri tidak pernah minta pun. 
 
"Memang tidak pernah dibincangkan langsung tapi yang dipertahankan adalah pembinaan terowong yang sememangnya tidak diperlukan," katanya.
 
Bercakap kepada Antarapos, Farid memberitahu jambatan ketiga yang disebut Guan Eng tidak diperlukan buat masa ini.
 
Ini kerana jambatan kedua, jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan masih tidak digunakan sepenuhnya apabila hanya mencatatkan jumlah trafik sekitar 40 peratus sahaja.
 
"Pada masa ini kita tidak perlukan Jambatan Ketiga Pulau Pinang kerana jambatan kedua sehingga hari ini pun memang masih belum digunakan sepenuhnya. Mungkin diperlukan di masa akan datang. Kalau kita lihat tidak ramai yang pakai pun.
 
"Memang ada cadangan untuk bina jambatan ketiga yang saya tahu di kawasan utama yang diperuntukkan tetapi setelah mengambil kira kajian kepenggunaan laut dan sebagainya mereka pindahkan ke selatan. Nampaknya saya tidak yakin dengan apa yang dikatakan oleh DAP," ujar Farid.
 
Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini turut mencabar kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan jambatan ketiga dan sebagai ganti pihaknya akan membatalkan projek terowong dasar laut berkenaan.
 
Guan Eng berkata surat rasmi berhubung permohonan itu akan dihantar ke Kementerian Kerja Raya, minggu depan.
 
Malah Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan menanggung kesemua kos pembinaan jambatan yang bakal menghubungkan persiaran Gurney di bahagian pulau dan Bagan Ajam.
 
Pengguna jambatan ketiga itu juga dipertimbangkan untuk dikecualikan bayaran tol. 
 
 

Tiada ulasan: