Khamis, 19 Mei 2016

Dialog dua hala polis-rakyat mampu kurangkan jenayah

lee chin chen2

 Roketkini.com


KUANTAN: Dialog dua hala di antara polis dan rakyat perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi mencapai langkah pencegahan jenayah terbaik serta dilaksanakan oleh kedua-dua pihak untuk keselamatan awam di Pahang.

Mengutarakan cadangan itu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Adun Ketari, Lee Chin Chen, berkata langkah itu juga akan memastikan rakyat dimaklumkan dengan taktik dan kawasan sasaran penjenayah supaya mereka lebih berhati-hati.

“Kes jenayah, terutama kes pecah rumah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ia menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat sehingga mampu menjejaskan kehidupan seharian mereka.

“Sebagai contoh, di Bentong, sekurang-kurangnya 10 kes kecurian dan pecah rumah berlaku dalam masa satu minggu. Anggaran kerugian mangsa pula mencecah RM50 ribu ringgit.

“Isu keselamatan yang semakin serius ini juga telah menyebabkan penduduk Bentong hidup dalam kebimbangan kerana khuatir menjadi mangsa yang seterusnya,” katanya semasa membahas usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Sultan Pahang di DUN Pahang, kelmarin.

Sehubungan itu, Chin Chen yang juga Setiausaha DAP Pahang berpendapat kerajaan negeri Pahang perlu menambah bilangan anggota polis di kawasan sasaran penjenayah, termasuk Bentong, bagi membanteras kes jenayah yang semakin menjadi-jadi itu.

“Ia penting untuk memastikan bahawa terdapat pegawai polis yang akan meronda mengikut jadual masa yang ditetapkan supaya kadar jenayah, terutama kes kecurian dan pecah rumah dapat dikurangkan,” katanya.

Walaupun kadar jenayah didapati menurun sejak 2009, kes kecurian dan pecah rumah di negeri Pahang masih mencecah angka beribu, justeru menekankan betapa pentingnya kerjasama antara polis dengan penduduk di kawasan sasaran penjenayah bagi mencegahnya. – Roketkini.com




Tiada ulasan: