Isnin, 16 Mei 2016

Dewan Rakyat tolak soalan berkaitan Panama Papers

Zulaikha Zulkifli

 


Dewan Rakyat hari ini menolak pertanyaan lisan oleh ahli parlimen pembangkang berhubung sama ada kerajaan ada menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang berada dalam Panama Papers.

Pertanyaan lisan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao-Leong itu telah ditolak melalui surat yang bertarikh 13 Mei 2016.

Dalam surat tersebut, Parlimen menjelaskan bahawa sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidak penerangan dalam surat khabar atau penerangan yang dikeluarkan oleh individu atau badan kewangan.

Sehubungan itu, Gooi melahirkan rasa kecewa dan berpendapat bahawa Parlimen sepatutnya menjadi tempat bagi pihak kerajaan menjawab soalan yang penting.

"Saya telah bertanya sama ada terdapat sebarang siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkenaan pihak berkepentingan daripada Malaysia seperti yang didedahkan dalam Panama Papers, baru-baru ini.

"Sekiranya ada siasatan, beri butiran penuh dan bentuk siasatan tersebut. Tetapi malangnya soalan saya ditolak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, anak perdana menteri, Nazifuddin Najib mencuri perhatian selepas didedahkan mempunyai akaun luar pesisir di British Virgin Islands.

Bagaimanapun, beliau bukan satu-satunya anak ahli politik Malaysia dalam senarai itu.

Semakan Malaysiakini terhadap rekod-rekod bocor daripada firma Panama, Mossack Fonseca, menunjukkan anak Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, anak Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berada dalam senarai.

Mossack Fonseca adalah syarikat undang-undang yang menawarkan perkhidmatan membentuk entiti di tempat undang-undang percukaian tidak ketat dan akaun-akuannya tidak dapat dijejak.

Dokumen-dokumen itu kini dirujuk sebagai ‘Panama Papers’.

Tiada ulasan: