Isnin, 30 Mei 2016

CCTV di KL lebih banyak berbanding Australia

DBKL kini menumpukan kepada usaha penambahbaikan infrastruktur di sekitar Kuala Lumpur bagi mengekang jenayah ragut berleluasa.


datuk-bandar-KL


KUALA LUMPUR: Kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Kuala Lumpur tidak akan ditambah lagi walaupun jenayah ragut terus berlaku.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata jumlah CCTV di ibu kota kini sudah terlalu banyak dan melebihi bilangan yang ada di negara Australia.

“CCTV sudah banyak, tidak tambah lagi. Sudah lebih 1,000, lebih banyak dari Australia,” katanya pada sidang media di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan Prasarana Malaysia Berhad, hari ini.

Amin berkata pihaknya kini lebih tertumpu kepada usaha penambahbaikan infrastruktur yang ada di sekitar Kuala Lumpur bagi mengekang jenayah ragut daripada terus berleluasa.

“Kita buat lampu jalan, tempat yang gelap kita lampukan. Kita buat cermin, kita buat ‘divider’. Kita bekerjasama dengan polis dan jabatan perancangan bandar.

“Mana-mana kawasan panas yang ada jenayah itu, DBKL akan menambah baik infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata setakat ini lebih 1,000 CCTV dipasang dengan 300 daripadanya disambungkan terus kepada polis.

Sebelum ini, New Straits Times melaporkan dua bulan pertama pada tahun ini, sebanyak 194 kes ragut berlaku di Kuala Lumpur. Jumlah itu melebihi tiga kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu hanya 63 kes saja.

Pada 2014, Kuala Lumpur merekodkan 593 kes, manakala Selangor mencatat 845 kes.

Manakala, pada tahun lalu jumlah kes meningkat daripada 604 kes kepada 950 kes.

Tiada ulasan: