Rabu, 11 Mei 2016

Calon PRK Sungai Besar: "Saya Akan Tolak Secara Baik" - Jamal

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

 

Jamal Md Yunos.
 
 
PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengakui akan menolak secara baik jika dipilih sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Malah Jamal akan berusaha meyakinkan pucuk pimpinan parti bahawa beliau akan terus berdiri teguh menyokong parti sebagai ketua bahagian termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.

Tambah Jamal, beliau selama ini tidak pernah berdepan masalah dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon sepanjang hayatnya.

“Selama ini saya sebagai ketua bahagian dan arwah sebagai Ahli Parlimen, kami tidak mempunyai sebarang masalah. Saya menjaga parti dan arwah sebagai wakil rakyat.

“Saya terbuka dan memberi laluan kepada muka-muka baharu mahupun pemimpin-pemimpin yang berpengalaman,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian mengenai nama beliau disebut-sebut sebagai antara calon bagi PRK Sungai Besar berikutan kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian dan Pengerusi BN di kawasan itu.

Ia bagi menggantikan penyandang kerusi itu, Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada minggu lalu.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ditanya mengenai calon lain, Jamal berkata, ia merupakan hak mutlak Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan calon yang bertanding mendapatkan kemenangan.

“Kita mengamalkan kepentingan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.

“Kita perlu akur untuk taat setia dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.

Mengenai persiapan PRK Sungai Besar, Jamal berkata, pihaknya telah bersiap sedia seratus peratus untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat ini.

"Semalam saya mengadakan mesyuarat pengurusan dan malam tadi mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian, kita mengarahkan semua jentera Umno bahagian diaktifkan.

“Bilik gerakan juga telah ditubuhkan serta-merta. Malam ini pula saya akan adakan mesyuarat untuk mengaktifkan semua jentera Barisan Nasional (BN),” katanya.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkaitan PRK di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Jumaat ini.

Tiada ulasan: