Khamis, 5 Mei 2016

Bomba terharu individu tak dikenali hulur sumbangan

Bomba terharu individu tak dikenali hulur sumbangan
Razali (kanan) bersama anggota lain sempat bergambar bersama dua individu tidak kenali yang menghulur sumbangan makanan dan air kepada mereka, semalam.


KUALA ROMPIN – “Sepanjang kira-kira 36 tahun berkhidmat sebagai ahli bomba, inilah kali pertama ada orang awam yang tidak dikenali tiba-tiba datang menghulur sumbangan berbentuk makanan dan air”.

Demikian luahan Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Razali Yazit, yang terharu menerima sumbangan berkenaan ketika beliau bersama beberapa anggota lain baru keluar dari belukar yang terbakar untuk berehat.

Menurutnya, individu berkenaan yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Kuantan disifatkan sebagai insan yang prihatin kerana sanggup berpatah balik menghantar sumbangannya walaupun tiada seorang anggota yang dia kenali.

“Ini kali pertama ketika operasi sebegini ada masyarakat yang prihatin dan langsung tidak dikenali menghulurkan sumbangan makanan dan air minuman yang cukup besar bagi kami secara tidak disangka-sangka .

“Ketika itu kami baru keluar dari belukar selepas selesai memadam kebakaran dan dia melihat kami berehat di tepi jalan. Mungkin atas rasa simpati dia sanggup berpatah balik selepas membeli roti dan air di Leban Chondong kira-kira sejauh 5KM dari lokasi kami berada,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak beberapa hari lalu, belukar di Tebu Hitam dan hutan kecil di belakang Taman Nusa Puteri terbakar sekali gus mengakibatkan kawasan sekitar Kuala Rompin diselubungi asap seakan jerebu.

Menurut Razali, beliau bersama anggota lain pada ketika itu bagaikan terkesima dan terharu dengan sikap individu berkenaan yang langsung tidak sempat mereka kenali kerana kejadian berlaku dengan sangat pantas.

“Dia kelihatan dalam keadaan tergesa-gesa.. kami hanya sempat bersalam namun tidak sempat bertanyakan namanya. Sebelum dia beredar kami sempat tahannya sebentar untuk bergambar sebagai kenangan.

"Mungkin ini 'hadiah' kepada kami sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia semalam ditemukan dengan insan yang mulia sebegitu walaupun kami tidak pernah mengenalinya," katanya.


Tiada ulasan: