Isnin, 9 Mei 2016

BERSIH gesa SPR teliti peratusan keluar mengundi

MALAYSIAKINI




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meneliti peratusan keluar mengundi pada hari pengundian dalam pilihan raya Sarawak semalam.

Gesaan tersebut dibuat Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah selepas mendapati berlaku peningkatan kadar peratusan keluar mengundi yang begitu mendadak sekitar jam 4.00 petang ke tengah malam.

“Saya rasa SPR perlu mengambil tindakan (keluar mengundi meningkat) kerana terdapat percanggahan besar - ia bukan satu peningkatan lima hingga enam peratus," kata Maria kepada Malaysiakini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah semalam tidak mendedahkan peratus keluar mengundi pada hari pengundian dalam pilihan raya Sarawak.

Peratusan keluar mengundi hanya diumumkan setakat jam 4 petang dengan 52 peratus daripada 1,109,795 pemilih berdaftar.

“Kamu kena kira sendiri,” Hashim dilapor sebagai berkata oleh The Star Online.

Bagaimanapun, beliau berkata peratusan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 71 peratus, yang merangkumi data daripada pengundian awal dan tidak hadir.

Menurut laporan itu, Hashim mengakui jumlah keluar mengundi pada hari pengundian secara relatifnya rendah dan mereka tidak tahu sebab sebenar.

Malaysiakini dalam usaha menghubungi Mohd Hashim untuk mengulas lanjut kenyataan Maria.


Tiada ulasan: