Selasa, 31 Mei 2016

Berhimpun dan merusuh, aktivis pembangkang didenda RM6,000

FREE MALAYSIA TODAY


Keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap mereka. 


Safwan Anang


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau sembilan bulan penjara terhadap bekas Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin, aktivis pembangkang Adam Adli Abdul Halim, Muhammad Safwan Anang@Talib dan tujuh yang lain selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen, tiga tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap mereka.

Mahkamah memerintahkan mereka membayar denda itu hari ini dan menolak permohonan untuk menangguhkan bayaran denda itu.

Badrul Hisham atau Chegubard, 38, Adam Adli, 27, Muhammad Safwan, 26, yang juga Pengarah Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) serta tujuh individu itu didakwa menyertai perhimpunan itu bagi melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013.

Tujuh individu itu ialah Norazimah Mohamad Nor, Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Lim Sue Pei, Edy Noor Reduan, Md Sani Md Shah dan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama mereka didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara dan pertuduhan kedua denda RM4,000 atau enam bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan lima yang lain iaitu Muhammad Aiman Hakim Zainal, Annie Ooi Siew Lan, Mah Chee Hoe, Tong Chan Sang dan Abdullah Hassan membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara atas pertuduhan menyertai perhimpunan sama.

Terdahulu, tiga peguam yang mewakili kesemua 15 tertuduh iaitu Mohd Radzlan Jalaludin, Haijan Omar dan G. Sivamalar memohon hukuman denda yang ringan memandangkan tiada kecederaan berlaku sepanjang perhimpunan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran agar kesalahan sama tidak berulang.– BERNAMA

Tiada ulasan: