Khamis, 5 Mei 2016

Bekas ketua SUPP bidas penyiaran 'cek RM1 juta Najib'

MALAYSIAKINI




Bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin Fah Kui membidas portal Sarawak Report kerana menyiarkan dua imej cek berjumlah RM1 juta yang kononnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk partinya.

Walau bagaimanapun, Chin tidak menafikan atau mengesahkan jika perkara itu benar.

Katanya, penyiaran gambar itu ketika Sarawak sedang menghadapi pilihan raya negeri bertujuan memburuk-burukkan imej SUPP dan calon-calonnya.

"Sarawak Report, pada pandangan saya, berusaha untuk memburukkan kepimpinan SUPP dahulu dan sekarang, dengan harapan untuk mengelirukan pengundi daripada memilih berdasarkan isu-isu semasa yang penting kepada rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan media.

Chin yang mengetuai SUPP sepanjang 2012 hingga 2014 menyifatkannya sebagai kerja-kerja pembangkang.



Sambil menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh, beliau berkata, isu itu adalah satu lagi contoh
"serangan yang diselaraskan dengan campur tangan pihak antarabangsa dalam pilihan raya Sarawak.”

"Saya ingin memberi jaminan kepada setiap pengundi bahawa SUPP tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang yang sedia ada di negara kita," katanya.

Sarawak Report, dalam artikel terbarunya menerbitkan imej dua keping cek yang memaparkan bayaran kononnya dibuat oleh Najib kepada SUPP pada 2012 dan 2013.

Portal pemberi maklumat itu berkata tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengapa perdana menteri membuat sumbangan peribadi kepada parti tempatan di Sarawak.

Mengulas lanjut, Chin berkata pasukan teknologi maklumat SUPP di ibu pejabatnya di Kuching, sedang berusaha untuk mengesahkan keaslian imej berkenaan.



"Tarikh pada imej cek (yang tidak jelas di beberapa bahagian) adalah sekitar tahun 2013.

Mac lalu, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) yang memetik rekod bank yang memperincikan bagaimana bayaran yang didakwa dibuat oleh Najib disalurkan kepada sekutu politiknya menjelang pilihan raya umum lalu, termasuk kepada SUPP.


Tiada ulasan: