Khamis, 19 Mei 2016

Azmin nafi minta EXCO PAS letak jawatan

 
Azmin menjelaskan fokusnya sekarang adalah untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang berhubung PRK pada 18 Jun nanti.


azmin-sungai-besar-1


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan pernah memberi kata dua kepada tiga EXCO PAS Selangor untuk meletak jawatan pada Isnin depan, jika parti Islam itu berkeras mahu bertanding di PRK Sungai Besar.

Sebaliknya, beliau menjelaskan fokusnya sekarang adalah untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang berhubung PRK pada 18 Jun nanti.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan AMANAH hari ini. Kata dua? Tiada dan ia tidak benar. Fokus kami ialah bincang tentang kerusi itu terlebih dahulu dan itu belum selesai,” katanya yang dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Azmin dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sudah menjelaskan kepada PAS bahawa partinya mahu bertanding di kerusi itu kerana peluang mereka lebih cerah untuk meraih sokongan pengundi Melayu dan Cina, tidak seperti PAS atau AMANAH yang hanya cenderung kepada Melayu.

Ditanya jika wakil rakyat PAS akan dikekalkan dalam EXCO negeri itu jika parti itu tetap bertanding di Sungai Besar, Menteri Besar Selangor itu berkata: “Jangan buat sebarang kesimpulan.”

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun nanti.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: