Ahad, 8 Mei 2016

Arwah tetap hadir walaupun telah pergi 30 kenduri


Arwah tetap hadir walaupun telah pergi 30 kenduri
 
Sazali dan isteri hiba sebaik mengetahui tentang kematian Noriah yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu.
 
SABAK BERNAM - "Arwah cakap dia dah pergi 30 kenduri kahwin.. kenduri kahwin anak saya yang terakhir disinggahinya," kata Pengusaha Mentarang Bakar, Sazali Zainal, 56.

Sazali berkata, Allahyarham, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon sempat singgah di gerai mentarangnya bagi menghadiri kenduri perkahwinan anak lelakinya, lewat petang Sabtu lalu.

"Arwah mohon maaf tak datang tengah hari sebab penuhi 30 jemputan kenduri," katanya kepada Sinar Harian.

Sazali berkata, arwah yang datang bersama dengan beberapa pegawainya sempat meluangkan masa kira-kira 15 minit, bagaimanapun tidak menjamah sebarang makanan.

"Masa tu arwah tak nak makan sebab dah kenyang. Saya dan isteri berbual dengan arwah.

"Arwah nampak ceria sepanjang masa. Banyak yang kami bualkan antaranya tentang kemajuan gerai yang kami usahakan," ujarnya.

Sazali berkata, dia tidak menyangka pertemuan itu adalah kali terakhir dia bertemu dengan Ahli Parlimen Sungai Besar itu sebelum mayat Ahli Parlimen Sungai Besar itu ditemui berhampiran serpihan pesawat, semalam.

"Saya rasa amat sedih dengan pemergiaan seorang pemimpin berjiwa rakyat.

"Kami tak sangka arwah singgah jua ke kenduri kahwin anak kami, walaupun dalam keadaannya yang sibuk. Kehilangannya beri kesan mendalam bagi sesiapa saja yang mengenalinya," katanya.

Tiada ulasan: