Ahad, 8 Mei 2016

Apa Akan Berlaku Kepada Pembangkang Di Sarawak?

Oleh: THE STAR
 
 
 
 
KUCHING: Apakah yang akan berlaku kepada pembangkang di Sarawak selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)?

Pertelingkahan tentang pembahagian kerusi akhirnya menjauhkan mereka daripada penyokong, khususnya pengundi muda.

Ramai daripada pengundi ini memilih untuk berkecuali dengan menghukum DAP dan PKR kerana gagal membentuk satu barisan bersatu bagi menentang Barisan Nasional (BN).

Ini diterjemahkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah pada Sabtu, dengan hanya 52 peratus daripada kira-kira 1.1 juta pengundi sahaja yang telah keluar membuang undi satu jam sebelum pengundian ditutup.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Mohd Faisal Hazis percaya PKR dan DAP telah menghabiskan terlalu banyak masa pada awal tempoh berkempen untuk cuba menyelesaikan isu pertindihan kerusi di beberapa kawasan.

Hasilnya, pembangkang gagal untuk membina sebarang momentum dalam pilihan raya ini berbanding pada tahun 2011.

"Pada hari pertama kempen mereka telah cuba untuk menjelaskan kepada pengundi mengapa mereka bertanding di kerusi yang sama.

"Apabila anda mempunyai tempoh yang singkat, kempen anda adalah untuk memenangi pengundi atas pagar kerana majoriti pengundi telah membuat keputusan untuk mengundi siapa," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, Ahad.

Katanya, pembangkang juga gagal untuk membina mesej yang kuat untuk rakyat Sarawak seperti mana yang pernah dilakukan pada era Tun Abdul Taib Mahmud.

Taib, yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri adalah ketua menteri pada PRN lalu, tahun 2011.

"Anda gagal membina momentum berterusan ke arah pilihan raya, jadi orang ramai tidak bersedia untuk keluar mengundi," katanya, sambil menambah perbalahan dalaman dalam BN tidak memberikan banyak kesan negatif.

Tambahnya permainan politik pembangkang adalah jauh berbeza berbanding 2011, apabila ia turun ke akar umbi, dengan memanfaatkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan negeri.

"Peralihan utama (kepada pembangkang) pada tahun 2011 adalah disebabkan oleh Taib Mahmud. Pada pilihan raya ini, perasaan marah itu sudah tiada lagi."

Jumlah yang keluar mengundi pada Sabtu juga mencerminkan pembentukan protes senyap oleh rakyat Sarawak, yang mungkin tidak berpuas hati dengan beberapa pilihan calon oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan juga pertelingkahan dalaman pembangkang.

Menurut penyelidik pilihan raya Sarawak Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, menahan diri daripada mengundi adalah pilihan neutral dan lebih selamat bagi kebanyakan pengundi.

"Sesetengah penyokong BN tidak berpuas hati dengan pemilihan calon, tetapi masih sayangkan parti dan tidak mahu menyertai pembangkang, yang tidak mempunyai rekod prestasi yang baik di negeri ini.

"Oleh itu, keputusan mereka untuk tidak mengundi dianggap sebagai langkah neutral, dan pilihan terbaik untuk pihak mereka," kata Dr Awang, seorang pensyarah di Universiti Malaya.

'Faktor Adenan' telah membawa penyokong untuk percaya bahawa mereka sedang berada di zon selamat. Ini boleh dilihat dalam kemenangan di beberapa kerusi panas BN seperti Bawang Assan dan Marudi.

"Tanpa faktor Adenan, mustahil untuk BN menang besar seperti ini," katanya.
 
 

Tiada ulasan: