BORHAN AHMAD
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta Menteri
Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman meletak jawatan menteri
besar dengan cara terhormat setelah Sultan Terengganu, Sultan Mizan
Zainal Abidin menarik balik pingat kebesaran yang telah dikurniakan oleh
Tuanku pada 22 April 2016.
Dalam satu kenyataan medianya kepada Malaysia Dateline, Ahmad
berkata, Sultan Mizan sudah memberi satu petunjuk yang jelas bahawa
beliau tidak mahu Ahmad Razif terus menjadi Menteri Besar Terengganu,
bertepatan dengan Fasal 30 Undang-undang Tubuh Negeri.
Adun Kijal itu menyebut tiga perkara berkait penarikan darjah kebesaran yang telah diwartakan.
Tiga perkara tersebut adalah: i) jika orang itu telah disabitkan
atas satu kesalahan yang melibatkan tipuan; ii) jika orang itu
dilucutkan kewargaannya; iii) jika Duli Yang Maha Mulia berpuashati
dengan kelakuan atau watak orang itu bahawa orang itu tidak lagi patut
dikurniakan darjah atau kebesaran tersebut atau tidak patut di
anugerahkan bintang atau pingat penghormatan atau kebesaran tersebut.
"Amat jelas kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad Razif amat besar dan
telah dinilai dengan teliti oleh DYMM Sultan Terengganu sehingga
penarikan itu diwawarkan secara umum," katanya dalam kenyataan itu.
Bagi beliau, Perdana Menteri sepatunya faham maksud tindakan Tuanku
Al-Sultan menarik balik darjah kebesaran daripada Ahmad Razif dan
sepatutnya mengemukakan nama calon-calon penganti untuk mendapat
perkenan DYMM Sultan Terengganu.
"Saya berpendapat kini sudah tiba
masa bagi YAB Perdana Menteri mencadangkan nama calon-calon penganti
Ahmad Razif dan terserah kepada DYMM Sultan Terengganu untuk memberi
perkenan,"katanya dalam kenyataan itu.
Keputusan ini, katanya, perlu dibuat segera kerana perjalanan
pentadbiran negeri Terengganu kini lesu akibat krisis antara pihak
Istana dan Menteri Besar dan lebih malang lagi rakyat yang tidak berdosa
dan sedang dihimpit kemelesetan ekonomi menjadi mangsa kemelut ini.
Istana Terengganu sebelum ini telah menarik semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Razif.
Ahmad pula dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu telah
mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Razif namun usul itu ditolak
oleh Speaker Dewan.
Sumber yang rapat dengan politik Terengganu pula memaklumkan, Ahmad
mempunyai sekurang-kurangnya dua penyokong kepada usul beliau itu, satu
angka yang cukup untuk menyebabkan Razif adalah ketua kepada kerajaan
minoriti.
BN mempunyai 17 Adun dalam DUN Terengganu manakala PAS 14 dan PKR
(1). Jika Ahmad ada tiga Adun bermakna, BN tingga 14 Adun sahaja
berbanding PAS + PKR + Bebas 18 Adun.
Namun begitu PAS tidak menyokong usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri BN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan