Selasa, 3 Mei 2016

11 Mei pendengaran permohonan Najib saman Harakah, Harakahdaily

MALAYSIAKINI


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei bagi pendengaran permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk penyelesaian saman beliau terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung 1Malaysia Development Berhad dari segi undang-undang tanpa perbicaraan penuh, kata peguam mewakili Najib.
 
Nor Emelia Mohd Iszeham hari ini memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng di dalam kamar.
 
Beliau telah berjumpa dengan hakim di dalam kamar semasa pengurusan kes.
 
Peguam Wan Rohimi Wan Daud mewakili dua defendan, Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop dan Ketua Editor Harakahdaily Taufek Yahya. 
 
Najib memfailkan saman pada 18 Mac tahun lepas terhadap Rosli dan Taufek kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah mengenai 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Februari tahun lepas.
 
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata artikel itu menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau.
 
Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.
 
Perdana Menteri berkata kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau.
 
 

Tiada ulasan: