Jumaat, 22 Januari 2016

Tipu muslihat mula terdedah, kata Mahfuz

MALAYSIAKINI






“Tipu muslihat” dalam drama rampasan kuasa terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir mula terdedah susulan pengakuan pemimpin-pemimpin Umno negeri, dakwa anggota parlimen PAS.

Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) membangkitkan kenyataan Ketua Wanita Umno Kedah Maznah Hamid dan exco negeri Datuk Tajul Urus dan Datuk Suraya Yaacob bahawa mereka tidak tahu menahu berkaitan sidang media anti-Mukhriz sebelum ini.

“Kejadian ini sangat memalukan,” kata Mahfuz (gambar) yang juga bekas naib presiden PAS.

Sinar Harian melaporkan Maznah ketika diminta hadir ke acara di Alor Setar pada Rabu tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai agenda perjumpaan itu, yang menjadi sidang media anti-Mukhriz.

BH Online pula melaporkan Tajul mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan timbalan Mukhriz Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah dan pemimpin Umno lain itu betul atau tidak.

Seorang lagi exco Kedah Datuk Suraya Yaacob juga menafikan majoriti kepimpinan Umno negeri menolak Mukhriz sebagai menteri besar.

Manakala anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Datuk Norsabrina Mohd Noor juga berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar itu.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz berkata usaha menolak kepimpinan Mukhriz tidak akan menyelesaikan pelbagai masalah negara, termasuk krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Begitu juga dengan isu seperti 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup tinggi, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta nilai rendah ringgit.

Pemimpin Umno ditipu hadir sidang media singkir MB?


Tiada ulasan: